Mengimbangi hak individu dan keselamatan awam – Aidil Khalid

SEMINGGU dua ini, kes Siti Noor Aishah Atam telah mendapat liputan dan dibicarakan dengan hangat oleh masyarakat. Ramai yang mengulas tentang penahanan dan perbicaraannya di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), sebelum kemudiannya dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi hanya untuk ditahan semula dan dilepaskan lagi oleh pihak berkuasa dengan pengawasan alat elektronik di bawah Akta Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasan) 2014 (POCA).

poca_alat-kaki_polis_600

Penulis berpeluang meneliti alasan penghakiman oleh Datuk Mohamad Shariff dalam kes tersebut, yang kini telah menjadi dokumen awam. Penghakiman 65 muka surat itu memperincikan fakta kes, daripada bagaimana penangkapan dibuat terhadap Siti Noor Aishah di rumah keluarganya ketika dia sedang tidur, buku-buku yang dirampas di rumahnya serta bagaimana siasatan dilakukan bagi mengenal pasti sama ada buku-buku yang dirampas mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas, dan bagaimana pendakwaan cuba membuktikan pertuduhan terhadap Siti Noor Aishah di mahkamah terbuka dalam perbicaraan penuh.

Pertuduhan terhadap Siti Noor Aishah dalam kes itu telah dibuat di bawah Seksyen 130JB(1)(a) Kanun ­Keseksaan, yang memperuntukkan kesalahan bagi memiliki item yang berunsur perbuatan keganasan. Bagi pertuduhan ini, hukuman adalah penjara untuk tempoh tidak melebihi tujuh tahun atau denda, selain boleh dilucuthak ke atas item yang dirampas tersebut.

download (2)

Apa yang menarik untuk diperhatikan adalah proses bagaimana pihak pendakwaan cuba untuk membuktikan kes. Beban pembuktian yang perlu dicapai oleh pihak pendakwaan adalah dengan mengemukakan ­keterangan melangkaui keraguan munasabah bagi menunjukkan bahawa buku-buku yang dirampas adalah milik Siti Noor Aishah dan sememangnya mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas.

Ini cuba dilakukan oleh pihak pendakwaan dengan memanggil saksi-saksi pakar, antaranya Dr. Wan Adli Wan Ramli. Tetapi ­keterangannya ditolak mahkamah, kerana dalam pada beliau mengemukakan laporan analisis ke atas buku-buku tersebut, beliau tidak menunjukkan bahagian khusus manakah dalam buku tersebut yang mempunyai unsur pengganas.

Saksi pakar lain ialah Profesor Rohan, yang juga mengemukakan pandangannya berkenaan mengapa buku-buku tersebut mempunyai kaitan dengan keganasan. Namun sekali lagi ditolak mahkamah, kerana beliau hanya membuat penelitian dalam pangkalan data terhadap buku-buku tersebut yang terdapat di Universiti Nanyang tanpa meneliti naskhah asal buku-buku itu untuk merumuskan secara autoritatif berkenaan elemen pengganas di dalamnya.

Hanya keterangan saksi pakar ketiga yang akhirnya diterima mahkamah, yakni keterangan oleh Ustaz Zamihan Mat Zin. Beliau yang juga Pengerusi Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah dan mempunyai kelayakan akademik dan pengalaman dalam soal-soal membabitkan fahaman pengganas, telah menunjukkan bahagian-bahagian yang relevan dalam kesemua buku tersebut serta ­menerangkan dengan terperinci akan alasan-alasan mengapa kesemuanya mempunyai kaitan dengan fahaman pengganas seperti gerakan al-Qaeda, Daesh dan Jemaah Islamiah. Atas keterangan tersebut, mahkamah berpuas hati dengan dapatan bahawa buku-buku ter­sebut sememangnya berkaitan dengan kumpuan-kumpulan pengganas.

Pun demikian, beberapa isu sampingan telah dibangkitkan, sehinggakan demi kepentingan keadilan, suatu sabitan tidak boleh dibuat terhadap Siti Noor Aishah. Yang pertamanya, persoalan mengenai kawalan dan ­jagaan terhadap buku-buku tersebut. Sungguhpun pihak pendakwaan menunjukkan bahawa buku-buku tersebut dirampas di dalam bilik Siti Noor Aishah di rumah keluarganya ketika dia sedang tidur di bilik, tetapi ini tidaklah mencukupi untuk mengatakan bahawa buku-buku berkenaan sememangnya dimiliki atau dikawal oleh Siti Noor Aishah.

Hakikatnya, bilik tersebut tidak berpintu, dan siapa-siapa sahaja boleh keluar masuk tanpa sebarang halangan. Memandangkan ahli keluarganya yang lain turut sama-sama mempunyai akses ke bilik berkenaan, terdapat keraguan yang munasabah tentang pemilikan sebenar buku-buku itu.

Persoalan yang kedua pula berkenaan dengan hakikat bahawa sungguhpun buku-buku tersebut telah berjaya dibuktikan mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas, tetapi pada masa rampasan dibuat oleh pihak polis, buku-buku itu tidak pun diharamkan penerbitannya oleh Kementerian Dalam Negeri.

Tentulah tidak adil untuk menghukum seseorang atas pemilikannya ke atas sesuatu penerbitan, ketika penerbitan itu tidak pernah dimasyhurkan sebagai haram untuk dimiliki. Masyarakat mempunyai hak untuk tahu, sama ada sesuatu itu boleh dimiliki atau tidak boleh dimiliki.

pil

Walaupun Siti Noor Aishah telah dibebaskan oleh mahkamah, hakikatnya tanggungjawab pihak berkuasa tidaklah berakhir di situ. Mengambil kira bahawa fahaman dan ideologi keganasan selalunya menular secara terselindung dan sukar dibuktikan – tetapi mudaratnya pula amat besar ke atas ancaman keselamatan – justeru POCA memperuntukkan kuasa-kuasa khusus kepada pihak berkuasa untuk mengawasi seseorang yang disyaki, termasuk melalui perintah had pergerakan dan pemasangan alatan elektronik pada tubuh orang yang disyaki tersebut. Dalam hal ini kita harus mengimbangi di antara hak individu dengan kepentingan keselamatan awam.

PENULIS ialah pengamal undang-undang dan aktivis Concerned Lawyers for Justice (CLJ).

* Disiarkan melalui ruangan Cakna, Utusan Malaysia April 10, 2017.

 

 

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s