Keranda 152 dan kisah katak menjadi lembu – Aidil Khalid

“Malam itu di Balai Budaya
Seorang peguam muda berkata
Bakar Perlembagaan 152”

DEMIKIANLAH bait-bait sajak penuh membara yang ditulis oleh Allahyarham Sasterawan Negara Datuk Dr. Usman Awang pada tanggal 3 Mac 1967. Sajak ini dinukilkan kira-kira 10 tahun setelah negara mencapai kemerdekaan.

Jika sajak itu ditulis sedikit lewat, selepas tahun 1969, maka ‘ajakan’ atau ‘saranan’ yang sedemikian itu ko­nonnya bagi ‘membakar’ peruntukan Perkara 152 dalam Perlembagaan Persekutuan — berhubung ketinggian bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan — boleh saja tergolong sebagai jenayah hasutan di bawah Akta Hasutan 1948. Hal ini kerana, setelah tragedi berdarah 13 Mei 1969, seksyen 3(1)(f) Akta Hasutan 1948 telah dipinda dan sekarang mentakrifkan ajakan untuk membenci sesuatu hal yang termaktub dalam Perkara 152 sebagai elemen utama jenayah menghasut.

Apa pun, perkara yang lebih utama untuk digali, dan oleh itu perlu diberi perhatian, adalah: mengapa sasterawan negara kita yang ketiga sampai demikian tega menyarankan agar Perkara 152 dibakar? Sedangkan sebagai penyair ulung yang menulis dalam bahasa kebangsaan, bahasa tersebut adalah senjata sehari-harinya.

Perkara ini sebenarnya, seperti yang sedia dimaklumi sebagai sub-teks bait-bait sajak tersebut, adalah sebuah tempelakan sinis terhadap sikap kerajaan pada ketika itu yang hanya mengangkat kedudukan bahasa kebangsaan dalam lembaran-lembaran Perlembagaan semata-mata. Namun tidak pula menghormati, apa lagi menuruti dengan ketaatan penuh setia.

Hari ini, setelah 50 tahun sajak tersebut ditulis, keadaan masih tidak banyak berubah, bahkan semakin teruk barangkali. Sungguhpun kedudukan bahasa Melayu masih tetap segak di singgahsananya seperti adanya dalam Perlembagaan, tetapi pada masa sama, bahasa yang dimahkotakan sedemikian tinggi terus-menerus dipijak dan diinjak tanpa sekelumit pun rasa hormat.

Kegemparan dan polemik yang timbul seminggu lalu berkenaan keputusan awal Kementerian Kesihatan dan Jabatan Perkhidmatan Awam pada tanggal 23 Februari 2017 untuk mengecualikan syarat Bahasa Melayu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi graduan perubatan yang ingin menjalani latihan siswazah dan berkhidmat sebagai pegawai perubatan lantikan kontrak, hanyalah satu episod pendek daripada rentetan panjang yang membuktikan sikap memperlekehkan kepentingan bahasa kebangsaan di negara ini.

Berikutan bantahan umum yang digerakkan oleh media-media berbahasa Melayu termasuk Utusan Malaysia, gerakan massa serta badan-badan bukan kerajaan, mujur sahaja pihak kerajaan akhirnya mempertimbangkan semula keputusan tersebut.

Sungguhpun dalam pertimbangan semula tersebut Jemaah Menteri telah memutuskan pada 5 Julai 2017 bahawa kelayakan Bahasa Melayu SPM diwajibkan semula sebelum graduan boleh dilantik menjadi pegawai perubatan lantikan kontrak, tetapi syarat ini tampaknya tidak dikenakan kepada graduan yang ingin menjalani latihan siswazah, atau housemanship.

Justeru, adakah ini bermaksud bahawa bagi warganegara Malaysia yang tidak mengambil SPM — mereka yang mengambil O-Levels atau pendidikan mene­ngah Cina, misalnya — yang kemudian melanjutkan pelajaran ke luar negara dalam jurusan perubatan, boleh dibenarkan untuk langsung berkhidmat sebagai doktor pelatih apabila pulang ke Malaysia, tanpa perlu ada sebarang kelayakan dalam bahasa Melayu, bahkan mungkin tanpa perlu tahu sepatah pun perkataan bahasa Melayu?

Sedangkan di United Kingdom (UK), menteri kesihatan mereka sangat tegas bahawa semua doktor yang ingin bertugas di UK mesti boleh berbahasa Inggeris dengan baik, dan jika tidak, lesen dan kelayakan mereka boleh ditarik balik. Hal ini berikutan kejadian seorang doktor warga Jerman di UK yang telah menyebabkan kematian seorang pesakit atas salah faham bahasa, apabila doktor tersebut tidak fasih bahasa Inggeris yang merupakan bahasa kebangsaan di sana.

Sudah tentulah doktor yang ingin berkhidmat di sesebuah negara perlu memiliki kefahaman bahasa rakyat negara tersebut, bagi memastikan tidak berlakunya salah faham antara doktor-pesakit-jururawat-dan staf-staf lain, yang boleh mengakibatkan kemalang­an maut.

Cukup-cukuplah kita mengambil lewa dan memandang remeh keutamaan bahasa kebangsaan.

Negara ini akan menyambut ulang tahun ke-60 pada penghujung bulan hadapan, justeru ketinggian bahasa kebangsaan sebagai bahasa utama negara sepatutnya telah lama menjadi batu asas dalam semua sektor, tanpa mengira swasta mahupun kerajaan, dan tanpa perlu dibahas-bahas lagi. Malangnya, kita terlalu ghairah mengejar keutamaan-keutamaan lain, dan lebih berbangga dengan berbahasa asing berbanding membina identiti dan jati diri negara-bangsa dengan acuan sendiri.

Alangkah malang, kerana kesombongan ini, menurut sepatah kata Allahyarham Sasterawan Negara Keris Mas pada 1952 lagi, “menjadikan kita sebagai katak yang mengembungkan perutnya kerana hendak menjadi lembu.”

PENULIS ialah pengamal undang-undang dan aktivis Concerned Lawyers for Justice (CLJ).

* Disiarkan melalui ruangan Cakna, Utusan Malaysia Julai 10 , 2017.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s