Jalur Gemilang lambang kemegahan negara – Muhammad Faris Zaidi

LAZIM mengetahui bahawa bendera adalah lambang kebanggaan dan kemegahan bagi identiti sebuah institusi, kerajaan atau negara. Pengibaran ben­dera walaupun nampak mudah, namun bukanlah suatu perkara yang boleh diambil enteng. Dengan mengibarkan bendera di suatu kawasan, ia melambangkan bahawa kawasan itu adalah milik sebuah organisasi atau kerajaan.

Penggunaan bendera sebagai lambang identiti bukanlah satu perkara baharu malah telah digunakan beratus tahun lamanya. Bendera telah mula dipakai sebagai lambang sesebuah kerajaan bermula sejak tahun 1000 sebelum Masihi lagi. Bendera Malaysia, atau lebih sinonim dengan nama Jalur Gemilang, adalah hasil rekaan seorang arkitek kerajaan Johor, iaitu Mohamed Hamzah.

 

 Sejarah penerimaan bendera Persekutuan Tanah Melayu pula adalah melalui perjanjian dengan Majlis Raja-Raja, bilamana sebuah jawatankuasa telah ditubuhkan pada 1949 untuk mempertimbangkan dan membuat perakuan berhubung dengan reka bentuk bendera Persekutuan Tanah Melayu.

Pada tahun itu, satu pertandingan peringkat kebangsaan dianjurkan oleh Majlis Perundangan Persekutuan bagi memilih bendera Persekutuan Tanah Melayu yang baharu. Menurut Jabatan Penerangan, dianggarkan seramai 373 karyawan mengambil bahagian dan akhir­nya, tiga reka bentuk bendera dipilih ke peringkat akhir.

Reka bentuk pertama melambangkan keris bersilang di tengah yang dikelilingi oleh 11 bintang pecah lima. Reka bentuk kedua hampir serupa dengan reka bentuk pertama kecuali 11 bintang pecah lima itu disusun dalam dua bulatan mengelilingi keris bersilang. Reka bentuk ketiga adalah ciptaan Mohamed dengan 11 jalur biru-putih bersama bulan bintang berwarna ku­ning di bahagian tepi kiri.

Majlis Perundangan Kebangsaan kemudiannya telah menjemput masyarakat awam untuk menilai ketiga-tiga bendera itu yang mana majoriti masyarakat memilih bendera ciptaan Mohamed. Akhirnya pada 19 Mei 1950, bendera Malaysia mendapat persetujuan King George VI dan dikibarkan buat kali pertama pada 26 Mei 1950 di perkarangan Istana Sultan Selangor.

Sebelum 1963, hanya terdapat 11 bucu bintang serta 11 jalur merah dan putih melambangkan negeri-negeri di Persekutuan Tanah Melayu. Selepas kemasukan Sabah, Sarawak dan Singapura, jalur ditambah kepada 14. Ia melambangkan 13 negeri dan satu wilayah Persekutuan. Jumlah ini masih dikekalkan walaupun setelah Singapura keluar dari Malaysia. Bulan pula melambangkan Islam sebagai agama Persekutuan seperti yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan manakala warna ku­ning melambangkan warna diraja dan biru sebagai simbol perpaduan.

Namun, hanya selepas 40 tahun merdeka baharulah bendera Malaysia diberikan nama ‘Jalur Gemilang’. Datuk Hashim Mat Dris pada 1995, mencadangkan nama rasmi diberikan kepada bendera Malaysia seperti ‘Union Jack’ digunakan sebagai nama rasmi bendera United Kingdom, ‘Tricolor’ untuk bendera Perancis dan ‘Sang Saka Merah Putih’ untuk bendera Indonesia. Tanggal 30 Ogos 1997, Tun Dr. Mahathir Mohamad secara rasmi menamakan bendera Malaysia sebagai Jalur Gemilang.

Nama Jalur Gemilang kini hampir genap 20 tahun dan telah 60 tahun lamanya berkibar di tanah ini. Namun, masih ramai yang mengambil mudah akan lambang identiti negara ini. Ada segelintir rakyat yang tidak segan mengibarkan bendera lusuh dan koyak atau meletakkan Jalur Gemilang di tempat yang tidak sepatutnya.

Walaupun terdapatnya Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tak Wajar) 1963, masih tiada akta khusus terhadap penggunaan bendera di dalam keadaan yang menghina. Malahan ada yang tanpa segan juga mengibarkan bendera Sang Saka Malaya yang dianggap berdiri sama tinggi dengan Jalur Gemilang.

Bendera ini adalah lambang kemegahan sesebuah negara. Tindakan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin bersama Wisma Putra yang segera meminta maaf kepada kerajaan Indonesia menunjukkan betapa pentingnya sesuatu lambang bendera itu. Jika dibiarkan berlarutan, satu kesilapan kecil itu mampu membawa padah yang besar. Jelas bahawa ia sekali lagi menunjukkan bahawa penggunaan suatu bendera itu tidak boleh diambil ringan.

Justeru, terdapat dua perkara yang mampu dicadangkan di sini bagi memastikan Jalur Gemilang itu sentiasa dihormati. Pertamanya, adalah agar kerajaan menggubal suatu akta berkenaan penggunaan bendera Malaysia atau logo rasmi Malaysia memastikan rakyat menghormati bendera yang menjadi kebanggaan negara. Ini bagi mencontohi Amerika Syarikat, India dan Singapura yang mempunyai Akta Bendera yang tersendiri.

Yang kedua adalah dengan mengubah mentaliti dan sikap masyarakat. Rakyat Malaysia perlu memandang tinggi perkara ini dan menghormati Jalur Gemilang sebagai lambang identiti negara yang menjadi tanah tumpah darah kita. Adalah tidak wajar untuk mengambil mudah perihal menjaga martabat identiti negara.

Sama-samalah kita mengembalikan kegemilangan Jalur Gemilang. Tatkala kita baru saja menjadi tuan rumah Sukan SEA 2017 di samping Malaysia kini sedang me­nyambut Hari Kemerdekaan ke-60 dan Hari Malaysia ke-54 yang bakal menyusul, kibarkanlah Jalur Gemilang dengan penuh kebanggaan! Salam Merdeka dan Selamat Hari Malaysia!

PENULIS ialah pengamal undang-undang dan aktivis Concerned Lawyers for Justice (CLJ).

* Disiarkan melalui ruangan Cakna, Utusan Malaysia September 4 , 2017.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: