Mendidik masyarakat undang-undang alam sekitar – Muhamad Izhar Mohd. Salehudin

NEGARA ini berada dalam era pembangunan pesat. Di bandar-bandar utama mahupun pedalaman, dapat dilihat bagaimana kawasan-kawasan yang dahulunya adalah hutan belantara, ditarah dan dijadikan sebagai kawasan pembangunan, sama ada projek perumahan, pembinaan lot kedai dan sebagainya.

Umum mengetahui, kesan pembangunan projek-projek ini tanpa seliaan yang baik boleh mengakibatkan bencana alam sekitar. Sudah beberapa kali bencana hakisan tanah dan tanah runtuh berlaku di negara ini. Yang acap kali diingati adalah tragedi tanah runtuh di Bukit Antarabangsa yang mengakibatkan kematian ramai penduduk Highland Towers dalam tahun 1993, serta kejadian tanah runtuh di pusat peranginan Cameron Highlands.

Seringkali juga berlakunya banjir kilat seperti di Kuala Lumpur, Kajang dan di kawasan bandar di Pulau Pinang. Kejadian di bandar-bandar ini bukan saja berpunca daripada proses pembangunan yang rancak tetapi berkemungkinan juga kerana sikap kurang disiplin masyarakat yang menyebabkan longkang-longkang kerap tersumbat sehingga berlakunya banjir kilat.

Maka tidak pelik jika kita masih melihat keadaan sungai-sungai di negara ini tercemar, walhal sungai-sungai ini adalah sumber dan punca utama bekalan air, terutama bagi penduduk di sekitar kawasan.

Pastinya kita masih ingat pencemaran ammonia di Sungai Semenyih dalam tahun 2016 yang menyebabkan loji rawatan sungai tersebut terpaksa ditutup beberapa kali dalam tempoh satu tahun, dan menjejaskan sumber air masyarakat setempat.

Penulis berpandangan bahawa untuk isu ini, tidak perlu kita menuding jari dan meletakkan beban kesalahan kepada mana-mana pihak. Pelaksanaan undang-undang alam sekitar perlu sentiasa dilaksanakan, tetapi penguatkuasaan undang-undang sahaja tidak memadai, tanpa kita memberi pemahaman dan pendidikan khusus kepada masyarakat berkenaan peruntukan undang-undang alam sekitar dan kepentingannya kepada masyarakat. Ketika ini semua pihak perlu serius dalam mengendalikan isu ini termasuklah dengan mendidik masyarakat untuk menyayangi dan menjaga alam sekitar.

Cakna Mendidik Masyarakat

Persoalan yang utama adalah sama ada masyarakat kita sudah sedia maklum mengenai undang-undang alam sekitar, termasuk memahami kesan ketidakpatuhan undang-undang terhadap alam sekitar. Jika dilihat senario di mahkamah, ada saja pihak-pihak yang dituduh dan menerima hukuman atas kesalahan berkaitan pencemaran alam sekitar. Namun adakah ini saja dapat membantu mendidik masyarakat berkenaan pentingnya penjagaan alam sekitar?

Laporan-laporan media yang meluas dan berterusan berkaitan isu dan kesalahan alam sekitar yang dihadapkan ke mahkamah boleh membantu mendidik masyarakat. Usaha ini perlu dijalankan dengan lebih kerap supaya ahli masyarakat dapat mengetahui adanya undang-undang alam sekitar dan kesan ketidakpatuhan kepada undang-undang ini.

Contohnya di Malaysia, kita mempunyai undang-undang berkaitan alam sekitar yang dikanunkan dalam Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127). Akta 127 digunapakai berkenaan perlindungan alam sekitar serta berkenaan penguatkuasaan perlindungan alam sekitar.

Selain itu, di peringkat Kerajaan Persekutuan, kita mempunyai Jabatan Alam Sekitar sebagai agensi di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar bagi menguatkuasakan undang-undang yang sudah digubal.

Namun demikian kawalan dan bidang kuasa mereka adalah tidak menyeluruh jika dilihat daripada sudut perundangan memandangkan bidang kuasa berkaitan tanah dan sumber air adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri, seperti mana tertakluk di dalam Jadual Kesembilan Senarai Negeri Perlembagaan Persekutuan.

Oleh itu, penulis berpandangan bahawa satu kerjasama erat adalah perlu di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri bagi pemeliharaan alam sekitar, termasuk untuk membantu mendidik masyarakat mengenai pemeliharaan alam sekitar serta memberi pemahaman tentang undang-undang-undang alam sekitar.

Pendidikan juga harus diperluaskan lagi untuk mengajar tentang kesan pencemaran alam sekitar kepada tahap kesihatan kita. Gempar baru-baru ini dengan tuduhan melibatkan kilang haram di Pulau Pinang yang dikatakan menyebabkan penduduk di kawasan persekitaran kilang itu terdedah kepada penyakit kanser. Isu seperti ini seharusnya dipandang serius dan ditangani dengan baik bagi memastikan tahap hidup masyarakat kita tidak dijadikan galang ganti atas alasan pembangunan.

Langkah daripada pihak kerajaan yang bercadang untuk memperkenalkan subjek Alam Sekitar bermula tahun 2019 melalui pendidikan awal kepada kanak-kanak sehingga ke peringkat universiti, adalah satu langkah terpuji yang perlu dilaksanakan bagi mendidik. Diharapkan dengan langkah ini dapat menerapkan masyarakat kita dengan rasa bertanggungjawab untuk menjaga alam sekitar dengan lebih baik.

Pastinya kita ingin hidup di dalam suasana bersih, dan inginkan suasana tersebut kekal hingga ke generasi akan datang. ­Pastinya kita juga mahu menikmati keindahan hutan hujan tropika, sungai yang bersih, pemeliharaan hidupan liar serta hidup dalam suasana udara yang bersih dan sihat.

Oleh itu, semua pihak perlu berganding bahu untuk mencapai matlamat ini. Diharapkan kita tidak lagi melihat sikap buruk segelintir masyarakat yang masih membuang sampah ke dalam sungai yang menyebabkan sumber air kita tercemar.

PENULIS ialah pengamal undang-undang sivil dan syariah dan aktivis Concerned Lawyers for Justice.

* Disiarkan melalui ruangan Cakna, Utusan Malaysia September 18 , 2017.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

w

Connecting to %s

%d bloggers like this: