Kurangkan ‘mengata’, daftar segera pengundi – Ku Amirul Faiz Ku Seman

‘PEMERINTAHAN dari rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat tidak akan lenyap dari muka bumi ini.’ – Abraham Lincoln, Mantan Presiden Amerika Syarikat.

Tunjang kepada prinsip demokrasi adalah hak rakyat untuk memilih pemimpin. Prinsip ini yang membezakan pentadbiran monarki dan demokrasi. Ini juga bermakna hanya dalam sistem demokrasi sahaja rakyat kebanyakan boleh menentu dan memilih pemimpin mereka.

Dalam konteks amalan demokrasi berparlimen di Malaysia, sudah 13 kali rakyat Malaysia menggunakan hak sebagai warganegara Malaysia untuk memilih suara pemimpin yang akan mewakili mereka dalam Pilihan Raya Umum yang diadakan. Lebih penting lagi, hak untuk memilih ini merupakan satu-satunya hak yang hanya diberikan kepada warganegara. Malah dalam Perlembagaan Persekutuan sendiri ada menggariskan tatacara dan tataurus Pilihan Raya di negara kita.

Bahagian VIII Perlembagaan Persekutuan merangkumi peruntukan perkara yang berkaitan dengan Pilihan Raya. Bermula dari Perkara 113 iaitu Perjalanan Pilihan Raya, diikuti dengan Perkara 114 iaitu Ke­anggotaan Suruhanjaya Pi­lihan Raya, Perkara 115 pula ber­kenaan dengan Bantuan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya, Perkara 116 mengenai Bahagian Pilihan Raya Persekutuan, Perkara 117 berkenaan Bahagian Pilihan Raya Negeri, serta Perkara 118 bagi cara mencabar Pemilihan manakala Perkara 118A berkenaan dengan Cara Mempersoalkan Petisyen Pilihan Raya mengenai tidak adanya Pemilihan, Perkara 119 berkenaan dengan Kelayakan Pemilih dan terakhir iaitu Perkara 120 berkenaan dengan Pemilihan terus ke Dewan Negara.

Bagaimanapun, di Malaysia pendaftaran Pemilih, atau lebih kerap dipanggil umum sebagai ‘pengundi’, tidaklah secara automatik apabila umur seseorang itu mencecah 21 tahun. Sebaliknya, mana-mana warganegara yang memenuhi syarat-syarat kelayakan Pemilih seperti yang terkandung dalam Perkara 119(1) Perlembagaan Persekutuan, haruslah berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya untuk menjadi pemilih dan mengundi di kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri. Perlu difahami juga Perlembagaan Persekutuan turut menyatakan keadaan-keadaan bila mana seseorang itu hilang kelayakan Pemilih dalam Perkara 119(3).

Cakna Kurangkan Mengata Daftar Undi

Menurut Peraturan 5 Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002, mana-mana pengundi berdaftar berhak untuk mengundi dalam pilihan raya parlimen dan negeri. Hak untuk mengundi bagi pemilih yang berdaftar adalah mutlak dan ia merupakan satu kesalahan kepada sesiapa yang menghalang seseorang pe­ngundi yang berhak daripada mengundi. Ini sejajar dengan peruntukan Seksyen 3 Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 (Akta 5). Seksyen 4 dalam Akta ini selanjutnya menyatakan mana-mana Pegawai Pilihanraya tidak boleh sengaja menghalang mana-mana Pemilih untuk mengundi di tempat pengundian. Kedua-dua peruntukan ini secara perundangannya menjamin hak setiap Pemilih untuk mengundi dalam pilihan Raya tanpa gentar serta takut.

Namun selepas 60 tahun kemerdekaan negara masih terdapat warganegara yang masih belum menjalankan tugas dan haknya dengan mendaftar menjadi pemilih.

Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya setakat Februari 2017 masih terdapat kira-kira 4.1 juta orang yang belum mendaftar sebagai pemilih. Selanjutnya, statistik juga menunjukkan peratusan yang keluar mengundi dalam pilihan raya di Malaysia hanyalah 75%. Statistik ini menggambarkan seolah-olah tidak timbul perasaan cakna dalam diri warganegara Malaysia untuk keluar mengundi.

Pelbagai alasan boleh diberikan bagi menjustifikasi tindakan untuk tidak mendaftar atau yang mendaftar tetapi tidak keluar mengundi. Ada yang beranggapan tiada makna undinya kerana orang lain telah mengundi atau tanggapan pilihan raya tidak telus.

Namun dari sudut perundangan, pilihan raya adalah satu-satunya cara yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan untuk rakyat mengatur dan menentukan wakil kawasan Parlimen serta Dewan Undangan Negeri.

Ia satu-satunya hak yang hanya boleh dinikmati oleh warganegara untuk menentukan pemerintahan kerajaan Persekutuan atau kerajaan Negeri untuk jangka masa lima tahun.

e43b3476b403dd03c7177c6aac7125b9_XL

Tuntasnya selari dengan kematangan demokrasi berparlimen di Malaysia, sewajarnya mana-mana rakyat yang memenuhi syarat di bawah undang-undang untuk mendaftar sebagai pemilih. Mereka juga perlu menuntut hak yang diberikan untuk memilih wakil mereka. Setiap undian akan menentukan hala tuju kerajaan Persekutuan dan Negeri untuk lima tahun mendatang.

Penulis menjemput seluruh rakyat negara ini untuk sama-sama kurangkan berteriak dan mengata di media sosial sebaliknya, marilah kita ambil tindakan dengan mendaftar sebagai Pemilih dan mengundi dalam Pilihan Raya.

PENULIS ialah pengamal undang-undang dan aktivis Concerned Lawyers for Justice (CLJ).

* Disiarkan melalui ruangan Cakna, Utusan Malaysia September 25 , 2017.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: