Risiko gagal daftar perkahwinan – Muhammad Izhar Mohd. Salehuddin

LUMRAH bagi setiap individu untuk berkahwin de­ngan pasangan pilihan mereka. Dalam agama Islam sendiri, setiap muslim dituntut berkahwin sebagai cara pengembangan zuriat dan salah satu cabang melaksanakan tuntutan syariat Islam.

Namun demikian pada masa ini semakin kerap kita dengar tentang perkahwinan yang dilangsungkan di luar negara. Antara lokasi yang sering menjadi pilihan untuk melangsungkan prosiding pernikahan adalah di selatan Thailand seperti di kawasan Songkhla dan Narathiwat.

Menerusi kuasa yang telah diserahkan kepada kerajaan negeri di bawah Jadual Sembilan, Senarai Kedua, Perlembagaan Persekutuan, di setiap negeri telah wujud akta atau enakmen yang mengawal selia undang-undang keluarga Islam. Sebagai contoh, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003. Dalam enakmen undang-undang syariah di setiap negeri mempunyai peruntukan khas untuk mendaftarkan perkahwinan seperti ini.

Cakna Risiko Gagal Daftar

Contohnya, di Wilayah Persekutuan Seksyen 12(2) Akta Undang-Undang Keluarga Islam 1998 menjadi rujukan dan panduan kepada masyarakat, yang perlu digunapakai untuk memohon supaya pernikahan yang berlaku di luar negara didaftarkan, jika pun ia melibatkan pernikahan sindiket. Peruntukan serupa wujud di Selangor dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 (Sel. En. 13/2003).

Namun demikian, dipercayai masih ramai pasangan yang bernikah di luar negara gagal untuk memohon kepada mana-mana mahkamah syariah di kawasan permastautinan mereka untuk mendaftarkan pernikahan. Ada kemungkinan individu-individu ini berasa takut untuk mendaftar sekiranya perkahwinan tersebut adalah perkahwinan poligami ataupun tidak mempu­nyai ­pengetahuan berkenaan kepentingan dan tatacara mendaftarkan perkahwinan selepas menerima surat nikah dari Majlis Agama tempat mereka bernikah.

Kegagalan mendaftarkan pernikahan di luar negara memberi impak yang besar terutamanya kepada kaum wa­nita dan kepada anak-anak yang lahir daripada perkahwinan tersebut. Sekiranya berlaku perceraian di antara kedua-dua pasangan tersebut, maka perceraian tersebut tidak boleh didaftarkan dan difailkan di mahkamah syariah di Malaysia.

Ini kerana pernikahan tersebut tidak didaftarkan di Malaysia. Akibat kegagalan tersebut juga perkara lain seperti pendaftaran pengesahan rujuk sekiranya pasangan merujuk semula sewaktu iddah isteri, nafkah iddah, tuntutan mutaah dan hal tuntutan harta sepencarian juga tidak boleh difailkan dan didengar di mana-mana mahkamah syariah di Malaysia.

Selain itu, bertitik tolak daripada perceraian yang berlaku daripada pernikahan yang tidak didaftarkan, ia juga memberi kesan kepada anak-anak hasil perkahwinan tersebut kerana mana-mana pihak yang terkesan akibat situasi di atas tidak boleh menuntut hak jagaan anak dan tuntutan nafkah anak. Sekiranya tidak berlaku perceraian sekali pun, anak-anak tersebut akan menghadapi masalah untuk mendapatkan dokumen pendaftaran yang sah melalui Jabatan Pendaftaran Negara.

12654225_10205839666258149_2280259215987401236_n

Penulis juga percaya timbulnya persepsi untuk tidak mendaftarkan perkahwinan tersebut kerana takut akan didenda oleh mahkamah syariah. Isu ini perlu dilihat secara berasingan kerana pernikahan tersebut perlu didaftarkan terlebih dahulu dengan mendapatkan perintah mendaftarkan pernikahan itu di mahkamah syariah dan memohon sijil nikah di Pejabat Agama yang mempu­nyai bidang kuasa. Hanya selepas itu baharulah timbul isu pendakwaan atas kesalahan di bawah contohnya, ­Seksyen 35, Enakmen Sel. En. 13/2003 jika pendaftaran pernikahan tersebut dibuat di negeri Selangor.

Di Selangor, pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah melancarkan kempen Jom Daftar Nikah untuk membantu individu-individu yang gagal mendaftarkan perkahwinan di luar negara.

Konsep kempen ini dijalankan terlebih dahulu oleh Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) pada 2015. Diharapkan inisiatif ini dapat membuka mata rakyat kita untuk tidak memandang remeh berkenaan isu ini dan mengambil peluang mendaftarkan pernikahan mereka dengan segera bagi mengelakkan permasalahan lain yang timbul di kemudian hari.

PENULIS ialah pengamal undang-undang sivil dan syariah dan aktivis Concerned Lawyers for Justice (CLJ).

* Disiarkan melalui ruangan Cakna, Utusan Malaysia Oktober 26 , 2017.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

w

Connecting to %s

%d bloggers like this: