Bankrap alasan langgar perintah – Muhammad Iz’aan Azalan

KITA semua maklum ba­hawa apabila seseorang penghutang tidak mampu membayar hutang-hutang kepada pemiutang, antara tindakan selalu diambil adalah membankrapkan penghutang tersebut mengikut cara dan kaedah yang termaktub di bawah Akta Kebankrapan 1967 [Akta 360].

Akibat hukuman bankrap tersebut, segala aset dan hutang penghutang akan diserahkan kepada Ketua Pengarah Insolvensi yang mana antara lain bertanggungjawab untuk membayar hutang-hutang pemiutang mengikut konsep sama rata.

Cakna Bankrap Alasan Langgar Perintah

Mengikut tatacara kebankrapan, Ketua Pengarah Insolvensi sewajarnya menjelaskan pembayaran hutang-hutang bercagar terlebih dahulu sebelum hutang-hutang lain.

Seringkali persoalan timbul khususnya dalam kalangan bekas isteri yang sedang dalam proses untuk mendapatkan pembayaran di bawah perintah dari mahkamah syariah adalah sama ada kebankrapan bekas suami boleh dijadikan alasan untuk tidak membayar pembayaran seperti mana diperintahkan mahkamah syariah atau sama ada pembayaran tersebut akan dikira sebagai hutang yang perlu ditadbir Ketua Pengarah Insolvensi sebagaimana hutang-hutang lain?

Pada pandangan penulis, jawapan mudah adalah tidak untuk isu-isu di atas. Bekas suami atau sesiapa sahaja yang telah diperintahkan mahkamah syariah untuk membuat apa-apa pembayaran kepada mana-mana pihak lain tidak boleh menjadikan bankrap sebagai alasan untuk tidak membuat pembayaran-pembayaran tersebut kerana Akta 360 tidak terpakai di mahkamah syariah.

Sebagai contoh, dalam kes Re Mohd. Kassim Sulong Ex P Siti Aminah Doon 1998 2 CLJ 702, Pemiutang Penghakiman (bekas isteri) telah mendapatkan satu perintah muktamad dari mahkamah syariah yang memerintahkan Penghutang Penghakiman (bekas suami) untuk membayar RM1,515,000 sebagai jumlah muta’ah. Dalam tempoh tiga tahun selepas perintah itu,

Pemiutang Penghakiman telah memfailkan Notis Kebankrapan terhadap Penghutang Penghakiman bagi menuntut pembayaran jumlah tersebut dan telah menyempurnakan penyerahan Notis Kebankrapan tersebut sebagaimana termaktub di bawah Seksyen 3(1)(i) Akta 360. Akibat kegagalan Penghutang Penghakiman menjelaskan pembayaran tersebut, Pemiutang Penghakiman telah memfailkan Petisyen Kebankrapan.

Antara isu yang telah dibangkitkan dalam kes tersebut adalah sama ada pembayaran perintah mahkamah yang membolehkan seseorang itu dibankrapkan di bawah Akta 360 hanya khusus kepada mahkamah sivil atau termasuk juga mahkamah syariah?

Mahkamah dalam kes tersebut telah memutuskan bahawa mahkamah dimaksudkan adalah mahkamah sivil semata-mata sebagaimana termaktub di bawah Seksyen 3(1)(e) Akta 360.

Dalam Kes Fatimah @ Hasnah Binti Daud Lawan Wan Hassan Bin Wan Daud JH 40 BHG 1 96 di mana pemohon telah membangkitkan isu undang-undang sama ada responden yang bankrap memerlukan kebenaran Ketua Pe­ngarah Insolvensi bagi melantik Peguam Syarie untuk memulakan tindakan di mahkamah syariah?

Mahkamah memutuskan pe­lan­tikan peguam syarie di mah­kamah syariah tidak memerlukan kebenaran Ketua Pengarah Insolvensi sebagaimana termaktub di bawah seksyen 38(1)(a) Akta 360 dan secara jelas menyatakan bahawa Akta 360 tidak terpakai di mahkamah syariah.

Kes-kes ini memberi gambaran jelas bahawa Akta 360 mempunyai skop pemakaian terbatas yang tidak termasuk bidang kuasa ke atas hal berkaitan dengan mahkamah syariah. Sekiranya ada pihak beranggapan bekas isteri sewajarnya memfailkan bukti hutang kepada Ketua Pengarah Insolvensi sebagaimana hutang-hutang lain, penulis berpanda­ngan kuasa tersebut sebenarnya tidak wujud.

Menurut Jadual C Akta 360, Ke­tua Pengarah Insolvensi atau Pe­nghutang diberi hak oleh akta tersebut untuk mencabar kewujudan apa-apa hutang di mahkamah. Jika hutang-hutang yang dicabar tersebut adalah hutang di bawah perintah mahkamah syariah, adalah mustahil untuk Ketua Pengarah Insolvensi atau Penghutang Penghakiman tersebut untuk mencabar hutang tersebut di mahkamah sivil kerana Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan telah secara tuntas mengisytiharkan bahawa mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa terhadap mahkamah syariah.

Justeru, seseorang yang telah dihukum bankrap tidak boleh menggunakan alasan kebankrapan tersebut untuk berselindung daripada obligasi yang telah diperintahkan oleh mahkamah syariah dan perlu sedaya upaya untuk membayar seperti yang telah diperintahkan.

Bekas isteri, apabila terdapat bukti-bukti kukuh kegagalan bekas suami untuk mematuhi perintah mahkamah seperti gagal membuat apa-apa pembayaran yang telah diperintahkan, hendaklah memfailkan tindakan pe­nguatkuasaan perintah mengikut tatacara dan kaedah telah ditetapkan oleh undang-undang syariah yang berkuat kuasa di negeri terlibat.

PENULIS adalah peguam syarie yang beramal di Kuala Lumpur dan aktivis Concerned Lawyers for Justice.

* Disiarkan melalui ruangan Cakna, Utusan Malaysia November 28 , 2017.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: