Aspek perundangan dan bahasa – Fadilah Ahmad

PADA awal 2009, Malaysia digemparkan dengan isu kon­troversi penggunaan kalimah ‘Allah’ dalam penerbitan The Herald – sebuah majalah mingguan Gereja Roman Katolik terbitan dalam bahasa Melayu. Ini berikutan pihak Titular Roman Catholic Archbishop (pihak gereja) memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi untuk semakan kehakiman terhadap keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang melarang penggunaan kalimah ‘Allah’ dalam The Herald.

Setelah meneliti dan mendengar hujahan pihak terlibat, lewat 2009, Mahkamah Tinggi mengetepikan keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) melarang pihak gereja menggunakan kalimah ‘Allah’ dalam The Herald. Meskipun sedemikian, keputusan itu tidak muktamad selagi rayuan kes tidak didengar dan diputuskan. Maka, rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi difailkan KDN pada 2010. Rayuan didengar dan dibenarkan Tan Sri Datuk Sri Mohamed Apandi Ali selaku mengetuai panel tiga hakim dan selanjutnya menghalang pihak gereja daripada menggunakan kalimah ‘Allah’ dalam majalah berkenaan.

Setelah mengambil kira sudut undang-undang, fakta sejarah dan keagamaan, Mahkamah Rayuan menyatakan kalimah ‘Allah’ tidak pernah tertulis walaupun sekali sebagai perkataan yang merujuk kepada Tuhan dalam sejarah bahasa Kitab Injil termasuklah Kitab Perjanjian Lama dan Kitab Perjanjian Baru. Disebabkan kalimah ‘Allah’ bukan perkara integral dalam kepercayaan pihak gereja, mahkamah percaya dan memberi ke­simpulan munasabah penggunaan kalimah ‘Allah’ dalam The Herald boleh menimbulkan kekeliruan penganut agama Islam.

Natijahnya, pelbagai pihak mengkritik bahawa Mahkamah Rayuan terkhilaf dalam mencapai keputusannya. Pihak ge­reja yang membantah keputusan itu seterusnya memfailkan permohonan untuk kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan pada 2014. Sebanyak 28 persoalan termasuklah ber­kenaan dengan undang-undang pentadbiran, undang-undang perlembagaan dan persoalan am ditimbulkan pihak gereja dalam permohonan itu.

Cakna Aspek Perundangan dan Bahasa

Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Tun Arifin Zakaria dalam tujuh panel hakim memutuskan pihak gereja tidak memenuhi syarat bagi mendapatkan kebenaran untuk merayu di bawah Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964. Justeru, pihak gereja tetap dilarang untuk menggunakan kalimah ‘Allah’ dalam The Herald.

Setelah dua tahun berlalu, kita sekali lagi dikejutkan de­ngan isu ini apabila Sidang Injil Borneo (SIB) memohon KDN menjelaskan bagaimana penggunaan kalimah ‘Allah’ dalam agama bukan Islam akan menyebabkan kekeliruan dan menjejaskan ketenteraman awam. Bertitik tolak hal itu, muncul pula kes terkini iaitu permohonan Semakan Kehakiman difailkan Jill Ireland Lawrence Bill berkenaan dengan rampasan cakera padat oleh KDN.

Peguamnya berhujah bahawa penggunaan kalimah ‘Allah’ tidak seharusnya dihadkan hanya kepada orang Islam memandangkan kalimah itu didakwa sudah digunakan dalam terjemahan bahasa Melayu bagi penerbitan-penerbitan Kristian di alam Nusantara sejak awal kurun ke-17 bagi merujuk kepada perkataan God.

Walau bagaimanapun, pada hemat penulis, ketepatan terjemahan God dalam bahasa Melayu kini menjadi persoalan. Isu utama penggunaan kalimah ‘Allah’ ini adalah isu ketepatan penggunaan bahasa dan istilah dan bukanlah isu pe­langgaran kebebasan beragama dan sebagainya. Malah perlu ditekankan kebebasan beragama di bawah Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan boleh dihadkan bagi memelihara ketenteraman awam, kesihatan awam atau prinsip moral.

Bersangkutan itu, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) adalah pihak berkapasiti sebagai penyelaras tunggal untuk membentuk, mencipta dan membakukan istilah dalam bahasa kebangsaan seperti termaktub di bawah Seksyen 6A Akta Dewan Bahasa dan Pustaka 1959 (Akta 213). Justeru, DBP adalah entiti paling berautoriti dalam merungkaikan permasalahan ini.

Walaupun didakwa penggunaan kalimah Allah ini ­kononnya digunakan sejak berzaman lagi oleh penerbitan Kristian, hakikatnya jika ketepatan penggunaan kalimah itu tidak dirungkaikan pihak berautoriti, ia akan berterusan menimbulkan kekeliruan istilah dan bahasa.

Dalam menterjemahkan kalimah melibatkan aspek akidah dan kepercayaan, rujukan hendaklah dibuat kepada tafsiran oleh pihak berautoriti dalam hal bahasa. Ini termasuklah manuskrip tertua dalam bahasa Melayu, Aqaid Al-Nasafi yang merujuk kalimah ‘Allah’ sebagai “Yang Maha Esa… bukan Ia jisim dan bukan Ia jawhar; dan tiada dirupakan dan tiada dapat dihinggakan dan tiada dapat dibilang (yakni tiada lebih daripada esa).”

PENULIS ialah pengamal undang-undang dan aktivis Concerned Lawyers for Justice, sebuah NGO gabungan dalam MACSA.

* Disiarkan melalui ruangan Cakna, Utusan Malaysia Disember 11, 2017.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: