Hikmah dan beradab dalam Parlimen – Ku Amirul Faiz Ku Seman

DALAM sistem demokrasi berparlimen, Parlimen mempunyai kedudukan tinggi. Ini bersesuaian dengan Parlimen yang adalah simbol kepada demokrasi dan juga wadah untuk badan perundangan melaksanakan amanah seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Parlimen juga bukan sekadar tempat lawatan atau berswafoto. Kepentingan, ketinggian dan kehormatan Parlimen semestinya menuntut pemahaman keseluruhan ahli-ahlinya untuk memahami aspirasi Parlimen.

Justeru, dengan memahami aspirasi Parlimen, ahli-ahli Parlimen harus memelihara martabat dan etika Parlimen. Perkara 62(1) Perlembagaan Persekutuan telah memberikan mandat kepada Majlis Parlimen untuk mengawal tatacaranya sendiri.

Cakna Hikmah Dan Beradab

Kewujudan peraturan-peraturan mesyuarat ini penting bagi memastikan perjalanan persidangan ataupun mesyuarat dilakukan dalam keadaan tertib, sopan dan profesional oleh ahli-ahlinya.

Misalnya, bagi Dewan Negara, adanya Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Negara (Peraturan Dewan Negara) untuk menguruskan tatacara dewan ini, manakala Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat (Peraturan Dewan Rakyat) pula digunakan untuk takbir urus perjalanan Dewan Rakyat.

Kewujudan Peraturan-Peraturan ini sesuatu yang penting untuk mengawal selia perjalanan dan urusan Parlimen supaya kekal dalam keadaan tertib dan harmoni. Peranan Yang Dipertua atau Timbalan Yang Dipertua adalah penting dalam memastikan perjalanan dewan menjadi sempurna.

Maka perkara pertama yang perlukan dalam kedua-dua dewan ini adalah keperluan untuk memilih dan melantik Yang Dipertua seperti yang termaktub dalam Peraturan 1 Peraturan Dewan Rakyat dan Peraturan Dewan Negara.

Rakyat Malaysia secara amnya menganggap ahli-ahli Parlimen mereka adalah seorang yang mempunyai hikmah dan tertib. Ahli-ahli Parlimen sering digambarkan mempunyai tutur kata yang sopan semanis ucapan mereka ketika merayu undi semasa tempoh kempen pilihan raya. Serta rakyat juga menggambarkan wakil mereka mempunyai etika dan tertib ketika perbahasan sesegak pakaian yang dipakai.

Namun sebalik­nya yang berlaku. Ada dalam kalangan ahli Parlimen yang seringkali bertutur atau bertindak luar dari batasan dan tertib Parlimen. Mengikuti perbahasan rang undang-undang atau usul, sering dipertontonkan sorotan adakalanya ketika ahli Parlimen sedang berucap terdapat ahli-ahli lain bukan sahaja tidak memberikan perhatian malah mengganggu perbahasan.

Keadaan ini sedikit sebanyak menjadikan persidangan di Parlimen menjadi seperti agenda sembang di kedai kopi kerana tiada ketertiban mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan walhal mereka berdiri dalam dewan yang agung.

Penulis berpendapat peraturan-peraturan yang telah diwujudkan cukup jelas.

Paling tidak ahli-ahli Parlimen secara logiknya boleh berfikir bahawa perbahasan di Parlimen itu terlalu berharga untuk disia-siakan. Contohnya, mengenai tatacara perbahasan di dalam Parlimen baik Dewan Rakyat mahupun Dewan Negara sudah terdapat peraturan yang menyatakan bagaimana cara perbahasan dijalankan.

Rujukan boleh dibuat kepada Peraturan 35 Peraturan Dewan Rakyat yang mana Peraturan ini telah memperuntukkan sekiranya seseorang itu ingin bercakap, dia perlu bangun dan hanya boleh bercakap sekiranya dipanggil Pengerusi. Peraturan ini juga ada dinyatakan pada Peraturan 34 Peraturan Dewan Negara.

Selain itu juga menurut Peraturan-Peraturan ini sekiranya dua atau lebih ahli yang bangun serentak, maka Pengerusi boleh memanggil ahli yang beliau terpandangnya dahulu. Peraturan Mesyuarat juga telah menyatakan bahawa tiada seorang ahli pun yang boleh mengganggu ahli lain yang berucap melainkan ­seperti yang dibenarkan oleh Peraturan-Peraturan Mesyuarat seperti memberikan teguran mengenai aturan mesyuarat atau diberikan laluan untuk berbahas oleh ahli yang sedang berucap.

Merujuk kepada Peraturan 41 Peraturan Dewan Rakyat mi­salnya ada menetapkan tatacara mengenai ketertiban ahli-ahli yang tidak berhujah semasa berada di dalam dewan.

Misalnya, ketika ahli lain sedang berhujah, ahli yang lain perlu diam dan tidak boleh ganggu dengan cara kurang adab, ahli-ahli hendaklah masuk atau keluar daripada dewan atau membawa diri dalam dewan dengan penuh tertib dan adab dan ahli-ahli tidak boleh membaca surat khabar atau buku, surat atau lain-lain kecuali berkaitan perbahasan.

Tuntasnya, penulis berpendapat adalah penting untuk ahli Parlimen menyelami dan memahami Peraturan-Peraturan ini. Percayalah rakyat Yang Berhormat wakili akan berbangga sekiranya Yang berhormat mampu berbahas dengan penuh hikmah, tertib dan beradab.

Memandangkan masa perbahasan dan tempoh persidangan yang hanya seketika janganlah pula disia-siakan dengan gangguan-gangguan tidak munasabah yang merenjatkan perjalanan mesyuarat.

PENULIS adalah pengamal undang-undang dan aktivis Concerned Lawyers for Justice, sebuah NGO gabungan dalam MACSA.

* Disiarkan melalui ruangan Cakna, Utusan Malaysia Disember 19, 2017.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s