Muslim ateis perlu pengesahan keluar Islam – Muhammad Iz’aan Azalan

LEWAT bulan lalu telah tular di laman sosial seke­ping gambar berkenaan dengan perjumpaan anggota Atheist Republic Malaysia yang diadakan di Kuala Lumpur. Insiden tersebut telah menarik perhatian sebahagian wakil rakyat untuk mendesak agar suatu siasatan diadakan bagi menyiasat sama ada orang Islam turut serta dalam kumpulan tersebut. Ini kerana umum tahu, Muslim di Malaysia dilindungi daripada penyebaran fahaman dan atau agama lain selain Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menjelaskan bahawa rakyat Malaysia tidak dibenarkan untuk mendukung ateisme kerana ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara. Beliau turut menegaskan bahawa Perlembagaan Persekutuan hanya menyatakan kebebasan beragama dan bukannya kebebasan untuk tidak beragama.

Kenyataan tersebut telah mendapat pelbagai reaksi daripada para peguam. Antaranya adalah Syahredzan Johan yang menyatakan bahawa kebebasan untuk me­nganuti ateisme adalah dilindungi di bawah Perlembagaan Persekutuan dan tidak ada mana-mana peruntukan khusus bagi menghalang penyebaran fahaman ateisme.

Beliau menambah, kononnya Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan beragama di bawah Perkara 11, juga menjamin kebebasan untuk tidak beragama.

Sedangkan peguam Andrew Khoo pula menjelaskan bahawa Perkara 3 hanya menyatakan bahawa agama Islam adalah agama bagi Persekutuan sedangkan agama lain adalah bebas untuk diamalkan dengan aman dan harmoni. Pada pandangan beliau, peruntukan ini tidaklah membawa mandat yang mewajibkan semua orang untuk beragama.

Isu ini berkait rapat dengan pandangan oleh Datuk Zainul Rijal dalam satu perbincangan yang dianjurkan sebelum insiden itu bagi membincangkan cadangan untuk memasukkan Rukun Negara sebagai mukadimah Perlembagaan.

Beliau berpandangan bahawa jika prinsip ‘Kepercayaan Kepada Tuhan’ dijadikan sebagai mukadimah Perlembagaan Persekutuan, ia akan membawa kesan mewajibkan agama bagi semua orang sedangkan Islam itu sendiri menjamin kebebasan beragama.

Sehingga ke hari ini, Rukun Negara masih belum dijadikan sebagai sebahagian daripada Perlembagaan Persekutuan dan kekal berdiri sebagai falsafah negara yang diperkenalkan pada 1970 setelah berlakunya rusuhan 13 Mei.

Baru-baru ini gabungan pertubuhan bukan kerajaan di bawah Malaysian Alliance of Civil Society Organisations in the Universal Periodic Review Process (MACSA) telah mengeluarkan kenyataan media yang menegaskan pendirian tentang isu ini.

MACSA menyatakan bahawa ateisme adalah fahaman yang boleh mengganggu-gugat keadaan keamanan dan keharmonian yang dikecapi Malaysia. Maka berlandaskan peruntukan Perkara 3 dan Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan, jelas kebebasan beragama “tidaklah membenarkan apa-apa perbuatan yang berlawanan dengan mana-mana undang-undang am yang berhubungan dengan ketenteraman awam, kesihatan awam atau prinsip moral.”

Namun begitu, daripada lensa hukum syarak, status seorang Muslim sama ada masih menganuti agama Islam atau tidak adalah penting untuk ditentukan kerana ia melibatkan banyak perkara dalam kehidupan seorang Muslim seperti isu pewarisan, wali pernikahan, dan status perkahwinan.

Sebagai contoh, Islam menfardukan pernikahan seorang wanita perlu adanya wali mengikut hukum syarak. Antara syarat utama yang ditetapkan bagi seseorang wali itu adalah Islam dan jika wali tersebut tidak lagi menganuti agama Islam, maka perkahwinan tersebut tidak boleh dilangsungkan melainkan dengan wali hakim berdasarkan kebenaran mahkamah. Maka status ‘agama’ seorang Muslim amatlah penting.

Dalam konteks Perlembagaan Persekutuan, pentadbiran agama Islam termasuk isu-isu melibatkan taraf diri seorang Islam adalah tertakluk kepada kuasa negeri di mana mahkamah syariah mempunyai bidang kuasa eksklusif terhadapnya.

Dalam kes Dalip Kaur Lwn. Pegawai Polis Daerah, Balai Polis Daerah, Bukit Mertajam & lain (1992) 1 MLJ 1, Mahkamah secara tuntas telah memutuskan bahawa forum sesuai bagi menentukan isu sama ada seseorang telah menganuti agama Islam atau tidak adalah mahkamah syariah.

Dalam kes lain, iaitu kes Soon Singh a/l Bikar Singh v Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kedah & Anor (1999) 1 MLJ 489, mahkamah telah putuskan bahawa sekalipun sesetengah enakmen negeri tidak menyebut secara nyata tentang bidang kuasa bagi mendengar dan memutuskan status agama Islam seseorang itu, namun bidang kuasa tersebut masih boleh dilihat secara tersirat.

Oleh demikian, adalah jelas bahawa orang Islam yang telah keluar daripada agama Islam demi mendukung fahaman ateisme masih perlu mendapatkan perintah pengesahan dari mahkamah syariah. Hanya dengan berlepas tangan menidakkan status agama saja, tidaklah menjadikan tindakan keluar agama seseorang itu diiktiraf dan dianggap sah di mata undang-undang.

PENULIS ialah peguam syarie dan aktivis Concerned Lawyers for Justice, sebuah NGO gabungan dalam MACSA.

* Disiarkan melalui ruangan Cakna, Utusan Malaysia Disember 25, 2017.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: