KENYATAAN MEDIA: Pindaan Anti-Diskriminasi Terhadap Akta Kerja 1955 Suatu Usaha Baik; Perlu Pastikan Cakupan Menyeluruh

14 Januari 2018

Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia bagi Proses Semakan Berkala Sejagat (Malaysian Alliance of Civil Society Organisations in the UPR Process, “MACSA”) mengalu-alukan dan menyokong kenyataan oleh Kementerian Sumber Manusia bertarikh 13 Januari 2018, bahawa Akta Kerja 1955 akan dipinda bagi menangani diskriminasi di tempat kerja. Hal ini berikutan isu larangan pemakaian tudung yang dikenakan terhadap sesetengah pekerja Muslimah, khususnya oleh majikan di sektor perhotelan di negara ini.

Sejak perkara ini mendapat perhatian umum, Perikatan Wanita Antarabangsa Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ), sebagai salah satu pertubuhan dalam gabungan MACSA, telah mengatur pertemuan dengan beberapa orang pekerja hotel yang terlibat dengan larangan ini, bagi mendapatkan gambaran menyeluruh mengenai krisis penafian hak beragama terhadap para pekerja Muslimah. MACSA sesungguhnya percaya bahawa isu melibatkan penafian hak dan diskriminasi di tempat kerja sebenarnya melangkaui sekadar isu pemakaian tudung semata-mata, malahan juga melibatkan beberapa isu hak asasi lain yang tidak kurang pentingnya.

Sebagai misalan, dalam kes Air Asia Berhad v Rafizah Shima bt Mohamed Aris [2015] 2 CLJ 510, seorang pekerja wanita telah diberhentikan apabila syarikat mendapat tahu bahawa pekerja tersebut hamil. Usaha pekerja yang dipecat itu untuk mendapatkan keadilan di Mahkamah gagal, kerana Mahkamah memutuskan bahawa perlindungan hak asasi yang dijamin di dalam Perlembagaan Persekutuan (termasuk larangan diskriminasi terhadap wanita) tidak terpakai kepada majikan swasta, memandangkan hubungan di antara majikan dengan pekerjanya adalah berasaskan kepada hubungan kontraktual semata-mata, yang mana hak-hak asasi boleh dikecualikan jika dipersetujui di dalam hubungan kontraktual tersebut.

Mahkamah Rayuan turut menyatakan bahawa sungguhpun Malaysia telah menandatangani CEDAW (satu perjanjian antarabangsa penting yang mengesahkan prinsip-prinsip hak asasi manusia dan kesamarataan kepada wanita-wanita seluruh dunia), dan telah meratifikasikannya pada tahun 1995, tetapi CEDAW tidak mempunyai kesan undang-undang di Mahkamah Malaysia kerana ia masih belum digubal ke dalam mana-mana perundangan tempatan.

MACSA juga ingin mengingatkan bahawa isu diskriminasi di tempat kerja tidak terhad hanya semata-mata kepada pekerja wanita. Ketua Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Ahmad Yazid Othman, sebelum ini telah dilaporkan pada 17 November 2017 sebagai berkata bahawa pihaknya ada menerima aduan mengenai larangan pekerja lelaki di kilang daripada menunaikan solat Jumaat.

Justeru, MACSA menggesa agar dalam merangka pindaan terhadap Akta Kerja 1955, pihak kementerian perlu menyoroti isu diskriminasi ini secara holistik dan menyeluruh, meliputi hak-hak wanita hamil, serta hak-hak beragama dan beribadah para pekerja yang ingin melaksanakan kewajipan beragama mereka. Hubungan kontraktual di antara pekerja dengan majikan tidak wajar dijadikan alasan untuk menafikan hak-hak asasi ini, kerana hak untuk beragama dan untuk tidak didiskriminasi secara salah, bukanlah perkara remeh yang boleh dikecualikan terhadap sesiapa. Perlu dimasukkan ke dalam pindaan tersebut suatu peruntukan melarang dimasukkan secara ekspresif ke dalam mana-mana kontrak pekerjaan, klausa yang menghalang wanita untuk bertudung dan hamil.

MACSA juga menggesa agar mesyuarat merangka pindaan larangan diskriminasi di tempat kerja di bawah Akta Kerja 1955 tersebut akan turut melibatkan pekerja-pekerja yang terbabit dan badan-badan bukan kerajaan yang terlibat secara langsung dengan isu ini, bagi memastikan pihak-pihak yang berkepentingan dapat memberikan input dan sumbang-saran, sebelum pindaan tersebut dimuktamadkan.

Azril Mohd Amin
Ketua Eksekutif CENTHRA merangkap Pengerusi
Malaysian Alliance of Civil Society Organisations
in the UPR Process (MACSA)

Prof. Madya Dr. Rafidah Hanim Mokhtar
Presiden WAFIQ merangkap Pengerusi Bersama
MACSA

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

w

Connecting to %s