Tahun menjamin hak pekerja – Ku Amirul Faiz Ku Seman

SEBAGAI sebuah negara Persekutuan yang berperlembagaan sudah pasti rakyat terikat dengan semangat perlembagaan itu sendiri. Perlembagaan dijunjung dan semangatnya dihayati. Inilah yang seharusnya diamalkan oleh kesemua kumpulan rakyat, baik marhaen ataupun orang kenamaan. Pemahaman ini juga seharusnya dihormati orang asing ketika berurusan di Malaysia seperti mana rakyat di negara ini menjunjungnya.

Secara logik, tiada peruntukan atau mana-mana perkara dalam Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan diskriminasi positif dalam bidang pekerjaan. Mana-mana perundangan yang baik tidak akan membezakan kumpulan gender atau kepercayaan dalam menilai kebolehan seseorang itu untuk bekerja. Seharusnya juga prinsip ini diikuti dan dipatuhi oleh mana-mana pihak baik korporat ataupun jabatan awam.

Prinsip kesamarataan bertujuan untuk menjamin kebebasan mana-mana rakyat bekerja tanpa dianaktirikan berdasarkan apa-apa faktor. Lebih-lebih lagi apabila menyentuh perihal kepercayaan dan amalan agama, kebudayaan, warna kulit mahupun gender. Pemahaman ini penting terutama di negara yang berbilang etnik seperti di Malaysia. Justeru, amatlah mengecewakan apabila rakyat digemparkan de­ngan beberapa insiden berkenaan dengan diskriminasi dalam sektor pekerjaan lewat tahun lalu.

Antara insiden dilaporkan berlaku adalah diskriminasi terhadap wanita bertudung dalam industri perhotelan dan diskriminasi ter­ha­dap wanita hamil. Terdapat juga aduan mengenai larangan pe­kerja lelaki untuk menunaikan solat Jumaat seperti mana dilaporkan Ketua Eksekutif Maj­lis Tindakan Ekonomi Melayu. Mujur selepas dilaporkan media, banyak tindakan progresif telah diambil oleh pihak kerajaan dan langkah-langkah ini dilihat sebagai tindakan baik. Malah, kerajaan menerusi Kementerian Sumber Manusia melalui kenyataan pada 13 Januari 2018 menyatakan Akta Kerja 1955 akan diperhalusi lagi bagi menangani diskriminasi di tempat kerja.

Banyak pihak menzahirkan so­kongan kepada langkah kementerian ini. Malah ia bersesuaian dan relevan dalam menangani isu diskriminasi di tempat kerja zaman ini. Diharapkan pindaan undang-undang ini adalah benar-benar menyeluruh dan berupaya menyediakan mekanisme terbaik untuk membanteras sebarang amalan yang mendiskriminasi mana-mana pihak. Penulis juga percaya rakyat menantikan satu perubahan yang realistik dan tidak hanya tinggal sekadar undang-undang.

Cuma, isu sebenar bukanlah diskriminasi yang berlaku tetapi lebih menjurus kepada persoalan mengapakah diskriminasi sedemikian boleh berlaku. Ini merupakan akar kepada segala permasalahan. Pelbagai hujah diberikan oleh majikan untuk dijadikan alasan membenarkan diskriminasi.

Ada majikan menghujahkan, ia hanya sekadar polisi yang diamalkan oleh syarikat mahupun industri. Ada juga menghujahkan pekerja tersebut terikat de­ngan kontrak perkhidmatan yang membataskan hak-hak tertentu. Ada pula majikan berhujah, ia adalah satu amalan kebiasaan waima diamalkan di peringkat antarabangsa.

Hikmah kepada kejadian itu adalah kesedaran bahawa isu ini melangkaui jantina kerana bukan hanya wanita sahaja me­ngalaminya. Ia juga melangkaui agama, kaum ataupun etnik ke­rana diskriminasi yang berlaku boleh melibatkan semua pekerja tanpa mengira bangsa. Pekerja dikatakan berhadapan diskriminasi apabila dia memilih untuk mengamalkan haknya atau kepercayaannya tetapi pihak majikan menyekat atau tidak membenarkannya. Bagaimanapun atas alasan apa sekalipun, seharusnya majikan perlu lebih berhati-hati dalam membentuk polisi apabila ia bercanggah dengan hak asasi manusia.

Penulis percaya, isu diskriminasi ini perlu ditangani secara menyeluruh dan tidak mencukupi hanya dengan pendekatan undang-undang sahaja. Pemain industri, kesatuan pekerja malah kesatuan majikan perlu lebih peka dalam hal ini. Hanya dengan persefahaman kesemua pihak, baharulah hubungan harmoni boleh diwujudkan dalam industri. Kajian terhadap norma-norma industri semestinya dijalankan untuk menapis bagi memastikan hanya amalan yang bersesuaian dengan cara Malaysia sahaja dibenarkan.

Dalam masa sama pekerja haruslah berani tampil untuk mengadu sekiranya didiskriminasikan. Isu ini perlu ditangani dengan baik untuk menjamin keluhuran Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan dan keadilan kepada warganya.

Tuntasnya isu diskriminasi pekerja ini memalukan dan tidak seharusnya berlaku memandangkan negara ini sendiri telah menguar-uarkan kesediaan Malaysia untuk menjadi negara maju. Di manakah majunya kita sekiranya masih ada pekerja yang didiskriminasikan hanya kerana percaya bahawa mereka berhak mengamalkan kepercayaan mereka berlandaskan prinsip perlembagaan?

PENULIS ialah pengamal undang-undang sivil dan syariah dan aktivis Concerned Lawyers for Justice, sebuah NGO gabungan dalam MACSA.

* Disiarkan melalui ruangan Cakna, Utusan Malaysia Januari 22, 2018.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: