Memartabatkan mahkamah syariah – Muhammad Faris Zaidi

MALAYSIA sebuah negara yang unik kerana selain mempunyai sistem beraja yang tersendiri di mana peranan Yang di-Pertuan Agong akan bergilir di antara Sultan dari sembilan buah negeri, kita ju­ga ada dwi-sistem kehakiman yang mempunyai bidang kuasa yang berbeza. Namun mempunyai kedudukan sama taraf. Dua sistem ini adalah sistem kehakiman mahkamah syariah dan mahkamah sivil.

Kedua-dua sistem ini mempunyai bidang kuasa berasingan dengan mahkamah syariah mempunyai bidang kuasa terhadap perkara-perkara yang mempu­nyai kaitan dengan Islam dan tidak boleh diganggu oleh mahkamah sivil. Perkara-perkara selain daripada hal yang berkaitan dengan Islam pula adalah di bawah bidang kuasa mahkamah sivil. Selain itu, mahkamah syariah hanya boleh membicarakan kes yang melibatkan orang Islam sahaja berbanding mahkamah sivil yang tidak mempunyai had tersebut.

 Cakna Memartabatkan

 

Walaupun dwi-sistem ini te­lah lama diamalkan di Malaysia, bidang kuasa mahkamah syariah dahulunya sering diganggu oleh mahkamah sivil. Terdapat beberapa kes yang di bawah kuasa mahkamah syariah yang telah didengar dan dibicarakan di mahkamah sivil. Meskipun begitu, setelah pelbagai usaha yang dilakukan oleh tokoh-tokoh undang-undang negara yang diketuai oleh Allahyarham Ahmad Ibrahim, mahkamah syariah telah diberikan nafas baharu pada 1988 apabila Parlimen meluluskan Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan. Peruntukan ini meletakkan kedudukan mahkamah syariah berdiri sama tinggi de­ngan mahkamah sivil.

Pindaan ini secara langsung memberi mahkamah syariah bidang kuasa eksklusif kepada isu-isu berkenaan dengan Islam dan mahkamah sivil tidak lagi boleh mengganggu, mendengar dan membicarakan kes-kes tersebut. Selain dari perkara-perkara yang melibatkan pusaka dan kekeluargaan, hak eksklusif bidang kuasa mahkamah syariah termasuklah dalam menentukan isu sama ada seseorang itu adalah beragama Islam ataupun tidak. Malah, ba­nyak keputusan di mahkamah sivil mengiktiraf dan menghormati hak yang diberikan kepada mahkamah syariah ini dalam keputusan mereka.

Salah satu kes yang tidak asing lagi bagi rakyat Malaysia adalah seperti penghakiman di dalam kes Lina Joy lawan Majlis Wilayah Agama Islam pada tahun 2007. Pemohon dalam kes ini telah memohon untuk membuang ‘Islam’ daripada kad pengenalannya namun Mahkamah Persekutuan telah memutuskan bahawa hanya mahkamah syariah yang mempunyai bidang kuasa untuk mendengar isu tersebut. Dalam kes Soon Singh Bikar Singh lawan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia, Mahkamah Persekutuan juga memutuskan perkara berkaitan memeluk agama Islam atau murtad adalah di bawah bidang kuasa eksklusif Mahkamah Syariah.

Meskipun begitu, terdapat beberapa kes yang diputuskan di mahkamah sivil yang mempunyai pendapat yang berbeza. Dalam kes Lim Chan Seng lawan Pengarah Jabatan Agama Islam Pulau Pinang, mahkamah memutuskan untuk mendengar dan membicarakan kes tersebut walaupun kes tersebut mempunyai kaitan dengan isu perundangan Islam. Hakim menjelaskan bahawa tidak ada sebarang peruntukan dalam Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang 1993 yang memberi kuasa kepada mahkamah syariah untuk membicarakan isu berhubung perkara murtad, sekali gus tidak memberi halangan untuk mahkamah sivil membicarakan kes tersebut.

Sistem Kehakiman mahkamah syariah masih muda jika hendak dibandingkan dengan sistem Kehakiman mahkamah sivil. Pas­tinya masih terdapat kekurangan yang perlu diperbaiki. Malah, perlu juga difahami bahawa tidak seperti mahkamah sivil, perkara-perkara berkaitan Islam adalah di bawah kuasa dan hak negeri. Pastinya wujud sedikit perbezaan di setiap negeri dan tidak ada keseragaman berbanding undang-undang sivil yang berada di bawah bidang kuasa kerajaan Persekutuan.

Meskipun begitu, terdapat ba­­nyak usaha yang dilakukan oleh pelbagai pihak dalam menambah baik sistem pengurusan mahkamah syariah. Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) baru-baru ini telah memberi cadangan agar kerajaan negeri agar meminda undang-undang tubuh masing-masing dengan meletakkan penubuhan mahkamah syariah dalam Undang-Undang Tubuh Negeri seperti di Terengganu. Dalam usaha untuk terus memartabatkan mahkamah syariah, PPMM juga mencadangkan agar kelonggaran diberikan kepada mereka yang bukan Islam untuk hadir sebagai pihak di mahkamah syariah. Cadangan ini disokong oleh Mufti Perak, Datuk Harussani Zakaria.

Sewajibnya selepas 31 tahun merdeka, mahkamah syariah diberi hak yang sama rata dengan mahkamah sivil. Bermacam-ma­cam cabaran dan usaha yang perlu dilakukan oleh pelbagai pi­hak dalam memastikan hak dan kedudukan mahkamah syariah terbela dan dijaga. Usaha ini perlulah diteruskan agar penambahbaikan dapat dilakukan dan mahkamah syariah tidak berada di takuk lama.

PENULIS adalah pengamal undang-undang dan aktivis Concerned Lawyers for Justice, sebuah NGO gabungan dalam MACSA.

* Disiarkan melalui ruangan Cakna, Utusan Malaysia Februari 12, 2018.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

w

Connecting to %s

%d bloggers like this: