Kedudukan bahasa Melayu bahasa ibunda Malaysia – Fatihah Jamhari

PADA 21 Februari lalu, dunia menyambut Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa sebagai memperingati pejuang-pejuang bahasa ibunda yang telah bergadai-golok memartabatkan bahasa ibunda masing-masing. Hari peringatan ini diangkat melalui Resolusi 30C/62, Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bertarikh November 1999.

Asalnya, tarikh bersejarah ini dipilih bagi mengenang perjuangan pelajar-pelajar Universiti Dhaka yang terkorban dalam Gerakan Bahasa 1952. Gerakan ini mendapat sokongan ramai pelajar Bengali yang menuntut agar bahasa Bengali diangkat sebagai bahasa kebangsaan di daerah Timur Pakistan (hari ini membentuk negara Bangladesh). Pendukung gerakan ini menentang pengisytiharan bahasa Urdu sebagai bahasa rasmi Timur Pakistan kerana ini dilihat sebagai langkah untuk menafikan hak kuasa autonomi kepada orang Bengali.

Malaysia amat bertuah dalam hal sejarah pembentukan negara. Walaupun isu bahasa telah menghangatkan pro­ses perbincangan menuntut kemerdekaan Tanah Melayu dan seterusnya pembentukan Malaysia, tidaklah sampai ada yang kehilangan jana.

Di bawah Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, bahasa Melayu dijulang sebagai bahasa kebangsaan di Malaysia. Bahasa Melayu mempunyai kedudukan tinggi sebagai bahasa kebangsaan yang digarap oleh bapa-bapa kemerdekaan dengan niat rakyat negara ini disatukan hati-hati mereka dalam wadah bahasa yang sama.

Sudah 60 tahun negara ini mengecapi nikmat kemerdekaan namun soalan yang acap kali diketengahkan masih sama; Sudahkah kita berjaya disatukan melalui bahasa kebangsaan yang membentuk perpaduan?

Sungguhpun bahasa Melayu dimartabatkan sebagai bahasa rasmi negara, tetapi Perkara 152 dan Perkara 161 Perlembagaan Persekutuan cukup menghormati kepelbagaian bahasa kaum-kaum yang membentuk demografi negara ini. Perlembagaan Persekutuan dengan jelas tidak melarang atau meminggirkan bahasa ibunda lain daripada terus diajarkan dan dipelajari.

images (1)

Malangnya pengecualian ini, disalah gunakan sehingga melangkaui peruntukan asal yang tidak membenarkan penggunaan bahasa lain dalam urusan rasmi negara. Penerimaan dalam usaha memperkasakan penggunaan bahasa-bahasa selain bahasa Melayu juga harus diselidik. Baru-baru ini, diumumkan pula keterbukaan usaha mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) jika UEC mampu menepati Dasar Pendidikan Negara. Keterbukaan ini seperti memperlekeh kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dalam negara ini.

Dengan membenarkan penggunaan berleluasa bahasa selain bahasa kebangsaan dalam urusan-urusan rasmi negara, termasuklah sebagai bahasa pengantar utama di sekolah-sekolah, ini telah menganiaya aspirasi perpaduan rakyat Malaysia. Kebanggaan dalam memelihara bahasa ibunda tidak boleh dijadikan halangan dalam memastikan setiap rakyat Malaysia mampu untuk berinteraksi dalam satu bahasa kebangsaan yang menyatukan. Adakah bahasa Melayu akan terus dianggap sebagai bahasa pertuturan kaum Melayu sahaja tanpa perlu diangkat oleh kaum lain? Pemikiran sebegini adalah berbahaya kepada perpaduan negara dan harus dibasmi.

Dalam banyak hal, rakyat Malaysia harus mengambil iktibar daripada kejadian di Myanmar. Di bawah Artikel 450 Perlembagaan Republik Kesatuan Myanmar, bahasa Myanmar diperuntukkan sebagai bahasa rasmi tunggal negara itu. Bahasa ini wajib digunakan rakyat Myanmar sekalipun umum tahu di Myanmar wujud tidak kurang daripada lapan etnik utama yang mempunyai bahasa ibunda tersendiri. Apabila terjadi genosid terhadap etnik Rohingya di negara Myanmar, terdapat beberapa pakar sejarah yang mengulas tentang tragedi ini dengan mengaitkan kegagalan sesetengah etnik di Myanmar untuk mengangkat identiti kebangsaan, termasuklah gagal berkomunikasi menggunakan bahasa Myanmar.

Penulis amat berharap Hari Bahasa Ibunda diperingati bagi memberikan peluang budaya etnik yang pelbagai di Malaysia dihormati dan dihargai. Sekalipun ada keperluan dalam memastikan setiap etnik yang membentuk negara ini kekal jujur kepada jurai budaya masing-masing, namun tidaklah sehingga menjadikan etnik tersebut terpencil daripada menerima budaya, bahasa, pegangan dan identiti kebangsaan.

PENULIS ialah pengamal undang-undang dan aktivis Concerned Lawyers for Justice (CLJ), sebuah NGO gabungan dalam MACSA.

* Disiarkan melalui ruangan Cakna, Utusan Malaysia Februari 26, 2018.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

w

Connecting to %s

%d bloggers like this: