KENYATAAN MEDIA: MACSA Memuji Komitment Kebangsaan dalam Hak Asasi Manusia

1 Mac 2018

Pada hari ini kerajaan Malaysia telah mengumumkan pelancaran Pelan Tindakan Hak Asasi Manusia Kebangsaan (NHRAP). Malaysian Alliance of Civil Society Organisations in the UPR Process atau Gabungan Organisasi Masyarakat Sivil Dalam Proses Semakan Sejagat (MACSA) mengambil peluang ini untuk merakamkan penghargaan serta memuji kesungguhan dan komitmen Kerajaan dalam membela, menghormati dan mempromosikan hak asasi manusia di peringkat kebangsaan.

MACSA berharap NHRAP ini akan dimanfaatkan seoptimum mungkin untuk memajukan bukan saja takat pematuhan hak asasi manusia di Malaysia tetapi juga keseluruhan taraf hidup dan kebajikan rakyat Malaysia. MACSA amat berharap NHRAP ini dijadikan panduan dan rujukan untuk menyelesaikan beberapa isu hak asasi manusia yang jelas wujud dan sering dibangkitkan di Malaysia termasuklah isu berkaitan hak sivil dan politik beserta hak ekonomi, sosial dan budaya selain isu jurang pendapatan di antara kelas-kelas sosial dalam negara ini.

Lewat tahun 2017, MACSA telah ditubuhkan sebagai kesinambungan penglibatan kira-kira 50 organisasi masyarakat sivil (CSO) di dalam proses Semakan Berkala Sejagat (Universal Periodic Review atau UPR), Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan bangsa Bersatu, Geneva, semenjak 2013 yang bertujuan memastikan pematuhan hak asasi manusia adalah berlandaskan instrumen antarabangsa yang diacu mengikut undang-undang, adat, budaya, tradisi dan identiti kebangsaan yang jelas mempunyai nilai tersendiri. MACSA berpendirian bahawa acuan hak asasi manusia di Malaysia haruslah meletakkan Perlembagaan Persekutuan, khususnya peruntukan dan pengecualian dalam Bahagian II, sebagai premis sentral dalam melindungi, memperbaiki dan mempromosi hak asasi manusia.

NHRAP tersebut haruslah menggariskan panduan dalam pengendalian beberapa isu mustahak dengan mengimbangi sensitiviti masyarakat Malaysia di samping keperluan untuk menghormati komitmen Malaysia di peringkat antarabangsa. Datuk Seri Najib Abdul Razak dalam pengumuman beliau pada hari ini, telah menggariskan 5 teras utama yang menjadi fokus NHRAP seperti berikut:-

1. Hak Sivil dan Politik;
2. Hak Ekonomi, Sosial dan Kebudayaan;
3. Hak Wanita, Kanak-kanak, Orang Kurang Upaya, Warga Emas, dan Pelarian;
4. Hak Asasi Golongan Minoriti; dan
5. Kewajipan Antarabangsa.

Mudah-mudahan 5 teras utama ini diangkat sebagai peluang untuk menyelesaikan isu-isu yang dibangkitkan oleh MACSA sendiri, antara lain, berkenaan dengan Perpaduan Kebangsaan, Wanita & Kanak-kanak, Kedudukan Mahkamah Syariah, Kebebasan Beragama, Hak Kumpulan Rentan dan Hak Belia.

MACSA juga menghargai kesungguhan kerajaan dalam membina mekanisme bagi memastikan perlaksanaan NHRAP dilakukan dengan berkesan dalam mendapatkan maklum balas orang ramai melalui aplikasi mobil, pembentukan satu jawatankuasa tertinggi bagi memantau pelaksanaan NHRAP dan menerima pandangan serta maklumbalas daripada kalangan CSO. MACSA sebagai gabungan CSO yang berteraskan sokongan dasar hak asasi manusia menyahut baik komitmen ini dan berhasrat untuk menggunakan NHRAP sebaik-baiknya sebagai landasan menyantuni aspirasi yang dipegang ahli-ahli gabungan di bawah MACSA.

MACSA mengulangi kebersediaan kami untuk bekerjasama dengan Kerajaan Malaysia, dan dengan mana-mana entiti lain, dalam rangka untuk memperbaiki keadaan hak asasi manusia di Malaysia, demi kepentingan semua.

Kenyataan Bersama:

Azril Mohd Amin ialah ketua eksekutif Centre for Human Rights Research & Advocacy (CENTHRA) dan pengerusi MACSA.

Professor Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar ialah presiden International Women & Alliance for Family Institution and Quality Education (WAFIQ) dan pengerusi bersama MACSA.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s