Antara hak dan batasan bersuara – Ilyani Khuszairy

HAK untuk bersuara, berekspresi atau mengutarakan pandangan sememangnya telah terpelihara di bawah Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa setiap warganegara berhak ke atas kebebasan bercakap dan bersuara. Kebebasan ini banyak membantu dalam melindungi hak masyarakat awam dalam mengekspresikan pandangan masing-ma­sing dalam konteks peradaban masa kini.

Namun terdapat segelintir masyarakat kita yang terlalu taksub menggunakan hak ini tanpa mengetahui natijah penggunaan hak tersebut sewenang-wenangnya tanpa batas sehingga mengakibatkan kesan yang buruk terhadap individu, komuniti, institusi berkepentingan malah kesannya terhadap negara.

Ketaksuban segelintir masyarakat terhadap kebebasan bersuara yang diberikan di bawah Perkara 10(1)(a) melahirkan lambakan kes saman fitnah dan pendakwaan jenayah di mahkamah, lebih-lebih lagi kes yang dihadapkan ke mahkamah berpunca daripada kenyataan yang di­sebarkan melalui media sosial.

Ironinya, rata-rata pihak yang disaman di bawah tindakan fitnah atau didakwa di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 terdiri daripada golongan yang tidak berkeupayaan dari segi kewangan, had umur atau taraf kehidupan sosial. Walhal, golongan ini terdedah kepada risiko seperti hukuman penjara, denda atau ganti rugi berbentuk kewangan sekiranya mahkamah mendapati penulisan atau ucapan yang diterbitkan mereka sememangnya mengandungi kenyataan yang berunsur fitnah atau kenyataan yang boleh menggugat institusi-institusi berkepentingan dan berperlembagaan selain kenyataan yang boleh mengancam keselamatan awam dan keharmonian masyarakat.

Justeru, penting ditekankan bahawa kebebasan bersuara tidaklah memberikan jaminan mutlak kepada warganegara untuk menggunakan hak tersebut secara semberono kerana kebebasan itu juga mempunyai had atau sekatan yang diperuntukkan di bawah Perkara 10(2). Parlimen boleh mengadakan undang-undang bagi mewujudkan sekatan yang didapati perlu dan mustahak demi kepentingan ke­selamatan Persekutuan, perhubungan persahabatan dengan negara luar, ketenteraman awam untuk melindungi keistimewaan badan legislatif atau untuk mengelakkan penghinaan terhadap mahkamah, fitnah, atau perbuatan menghasut untuk melakukan sesuatu kesalahan.

Tambahan lagi, sekatan-sekatan lain juga boleh dikenakan seperti di bawah Perkara 10(4), yang memperuntukkan kebenaran kepada Parlimen untuk meluluskan undang-undang yang melarang apa-apa yang mempersoalkan perkara, hak, taraf, kedudukan, keistimewaan dan kedaulatan yang dilindungi di bawah Perkara 3 (kedudukan agama Islam), Perkara 152 (Bahasa Kebangsaan), Perkara 153 (Perizaban kuota bagi orang Melayu, Sabah dan Sarawak) dan Perkara 181 (Pengecualian bagi kedaulatan Raja-Raja Melayu).

WhatsApp Image 2018-03-12 at 4.14.01 PM

Sekatan-sekatan yang dikenakan terhadap masyarakat dalam mengutarakan pendapat dan suara dalam mengeks­presikan pandangan masing-masing telah dimaktubkan dalam beberapa Akta yang digubal oleh Parlimen, antaranya Akta Hasutan 1948, Akta Rahsia Rasmi 1972, Akta Fitnah 1957, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971, Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998, dan Kanun Keseksaan.

Ini tidak bermaksud bahawa masyarakat perlu gusar dalam mengutarakan pandangan masing-masing berhubung isu yang menyentuh kepentingan masyarakat. Namun, masyarakat haruslah berwaspada berkaitan de­ngan kandungan dan tatasusila penulisan mahupun percakapan agar tidak berlawanan dengan undang-undang sedia ada.

Ramai kalangan masyarakat kita yang tidak sedar kesan kebebasan bersuara melampaui kebatasan Perlembagaan Persekutuan. Sebagai contoh, baru-baru ini kita sering disajikan dengan kes-kes seperti penghinaan terhadap ins­titusi raja seperti yang berlaku di Perak di mana seorang remaja didakwa di atas tuduhan menghina Sultan Perak di laman sosial Twitter.

Remaja tersebut didakwa mengikut Seksyen 233(1)(A) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang jika didapati bersalah, boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM50,000.00 atau penjara atau kedua-duanya. Pendakwaan terhadap remaja itu yang masih belum tamat pengajian akan menyebabkannya mengalami kesukaran dalam menghadapi kehidupan di masa akan datang terutama apabila terdapat rekod jenayah akibat daripada penulisan yang boleh mencetuskan huru-hara dan ancaman terhadap institusi raja.

Justeru, pendedahan kepada masyarakat mengenai sekatan dan had terhadap hak untuk bersuara, bercakap, menulis atau mengekspresikan pandangan masing-ma­sing di media sosial serta akibat daripada penyalahgunaan kebebasan tersebut amatlah penting untuk mengelakkan lambakan kes-kes saman di mahkamah.

 

PENULIS ialah pengamal undang-undang dan aktivis Concerned Lawyers for Justice (CLJ), sebuah NGO gabungan dalam MACSA.

* Disiarkan melalui ruangan Cakna, Utusan Malaysia Mac 12, 2018.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

w

Connecting to %s

%d bloggers like this: