Kuasa pengguna tidak digeruni, mengapa? – Ku Amirul Faiz Ku Seman

DALAM konteks konsume­risme, semua daripada kita adalah pengguna. Isu yang sering dibincangkan oleh pengguna tahun ini tidak lain tidak bukan adalah tentang isu kos sara hidup. Isu yang sering menarik perhatian masyarakat dan pengguna adalah berkenaan harga barangan keperluan asas yang dilihat sebagai tinggi dan melampau. Isu ini memberi kesan secara ‘pukul rata’ kepada semua pengguna tanpa mengira latar belakang mereka.

HAKPENGGUNA.png

Justeru, saranan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim iaitu untuk mengadakan jihad menangani manipulasi harga adalah sesuatu yang tepat. Saranan yang diutarakan dalam Dewan Negara ketika sedang membahaskan Titah Diraja pada 6 Mac 2018 tempoh hari adalah sesuatu yang penting dan menjadi akar untuk menangani isu kenaikan harga menggila atau mencatut oleh peniaga.

Secara peribadi, penulis bersetuju dengan pernyataan Ahli Parlimen Kuala Selangor itu bahawa terdapat segelintir peniaga mengambil ke­sempatan ke atas pengguna dengan mengenakan harga tinggi. Lantaran itu, saranan beliau berkenaan tindakan pe­nguatkuasaan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 723] adalah senjata terbaik untuk menangani isu adalah tepat.

Mencatut adalah satu kesalahan di bawah Akta 723, yang de­ngan jelas dan tegas telah dite­rangkan dalam Bahagian IV Akta ini. Merujuk kepada Seksyen 14 Akta 723 misalnya menyatakan bahawa menjadi kesalahan bagi peniaga barangan atau perkhidmatan untuk mencatut. Definisi ‘mencatut’ seterusnya dinyatakan dalam subseksyen (2) yang me­nerangkan bahawa maksud mencatut adalah membuat keuntu­ngan tinggi yang tidak munasabah.

Mungkin sebagai orang awam sukar untuk kita menentukan sama ada peniaga telah mencatut atau tidak. Sehubungan itu, Akta 723 menerusi Seksyen 15 memperincikan mekanisme untuk menentukan apakah yang dimaksudkan dengan keuntungan tidak munasabah.

Selanjutnya Seksyen 18 Akta 723 pula memperuntukkan pe­nalti bagi mana-mana pihak yang didapati bersalah melakukan kesalahan mencatut. Di bawah subseksyen 1 dinyatakan sekiranya yang melakukan kesalahan itu adalah satu pertubuhan perbadanan, ia boleh didenda tidak melebihi RM500,000 manakala bagi kesalahan kedua dan seterusnya, pertubuhan atau perbadanan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1 juta.

Bagi orang perseorangan pula, di bawah subseksyen 2 telah diperuntukkan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara ti­dak melebihi tiga tahun atau ke­dua-duanya. Bagi kesalahan kali kedua dan seterusnya, seseorang itu boleh didenda tidak melebihi RM250,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya. Untuk me­nunjukkan keseriusan pihak kerajaan untuk menangani kesalahan mencatut ini, sebuah mahkamah khas yang dikenali sebagai Mah­kamah Sesyen Khas Anti Pencatutan telah ditubuhkan.

Statistik 2017 menunjukkan sebanyak 487 kes pencatutan direkodkan dari 5 Januari sehingga 5 Disember, manakala sebanyak 5,135 notis telah dikeluarkan di bawah Seksyen 21 Akta 723. Notis di bawah Seksyen 21 Akta 723 ini membawa maksud bahawa mana-mana individu atau perbadanan yang menerima notis ini perlu memberikan keterangan atau dokumen mengenai harga barangan mereka. Pada 2018 sahaja, lebih kurang 273 notis di bawah Seksyen 21 Akta 723 telah dikeluarkan kepada mereka yang disyaki mencatut.

Tidak dapat dinafikan pengguna juga perlu memainkan pe­­ranan mereka dengan bijak. Sekalipun Parlimen Malaysia meluluskan undang-undang yang pelbagai bagi tujuan memerangi pihak yang manipulasikan harga, namun akan menjadi sia-sia sekiranya tiada kerjasama daripada pengguna. Justeru, pengguna perlu bertindak bijak dengan be­ker­jasama menyalurkan maklumat mengenai jenayah ini.

Tidak keterlaluan sekiranya penulis katakan, tindakan memanipulasi dan mencatut harga barangan ini mencabul hak pengguna. Sampai bilakah pengguna harus ditindas dan ditekan dengan dikenakan harga yang terlampau tinggi dan tidak wajar? Mungkin juga sudah sampai masanya pengguna perlu berani untuk memboikot mana-mana peniaga atau syarikat yang me­ngenakan harga tidak masuk akal untuk menyampaikan mesej jelas kepada para peniaga.

Zaman merungut dan me­nya­lahkan pihak lain semata-mata tidak lagi relevan. Pengguna mempunyai kuasa ampuh yang seharusnya digeruni oleh peniaga tetapi ini tidak berlaku di Malaysia. Kejayaan menangani isu manipulasi harga tidak hanya terletak kepada pihak berkuasa yang hanya terbatas dari aspek bila­ngan kakitangan tetapi kepada kita sebagai pengguna untuk berani melaporkannya.

PENULIS ialah pengamal undang-undang sivil dan syariah dan aktivis Concerned Lawyers for Justice, sebuah NGO gabungan dalam MACSA.

* Disiarkan melalui ruangan Cakna, Utusan Malaysia Mac 19, 2018.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s