Undang-undang kahwin bawah umur – Muhammad Izhar Mohd. Salehuddin

SETIAP insan dalam naluri hati masing-masing sentia­sa mengimpikan untuk memiliki pasangan, berkahwin, mempunyai zuriat sekali gus melengkapi dan mencapai maksud membina sebuah institusi perkahwinan dan kekeluargaan.

20160420-kartini.jpg

Tidak dapat dinafikan bahawa dalam institusi masyarakat pada masa kini masih dapat kita de­ngar kisah-kisah berkenaan perkahwinan bawah umur. Isu tunjang perkahwinan bagi pasangan yang masih muda adalah sama ada dalam pengukuhan institusi kekeluargaan yang dibina boleh memelihara hak-hak pasangan ini atau sebaliknya mencemar hak mereka untuk menjalani hidup remaja tanpa tanggungjawab sebagai orang berkahwin.

Pertama, kita perlu lihat daripada sudut perundangan yang mengawal selia urusan kebenaran berkahwin di bawah umur. Bagi yang beragama Islam, wujud peruntukan dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam di negeri-negeri berkenaan had umur minimum untuk seseorang lelaki dan perempuan berkahwin.

Sebagai contoh, Seksyen 8 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 menyatakan seperti berikut:

“Tiada sesuatu perkahwinan boleh diakadnikahkan di bawah enakmen ini jika lelaki itu berumur kurang daripada 18 tahun atau perempuan itu berumur kurang daripada 16 tahun kecuali jika hakim syarie telah memberi kebenarannya secara bertulis dalam hal keadaan tertentu.”

Sementara itu, menerusi peruntukan undang-undang yang terpakai untuk isu perkahwinan bawah umur ini dijelaskan melalui Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (Akta 164) yang mana Seksyen 10 Akta tersebut menyatakan seperti berikut:

“Sesuatu perkahwinan yang berupa sebagai diupacarakan dalam Malaysia adalah tidak sah jika pada tarikh perkahwinan itu salah satu pihak berumur di bawah 18 tahun ­melainkan jika, berkenaan dengan seseorang perempuan yang telah genap umur 16 tahun, upacara perkahwinan itu telah dibenarkan dengan suatu lesen yang diberi oleh Ketua Menteri di bawah Seksyen 21(2).”

Berdasarkan pada peruntukan undang-undang yang terpakai, adalah jelas di dalam peruntukan undang-undang menyatakan bahawa syarat umur minimum untuk berkahwin adalah 18 tahun untuk lelaki dan 16 tahun untuk perempuan, dan sebarang perkahwinan untuk di bawah umur minimum perlu mendapat kebenaran bertulis daripada hakim syarie untuk orang Islam dan Ketua Menteri untuk bukan beragama Islam.

Di sebalik peruntukan yang ada dan terpakai di bawah undang-undang untuk isu ini, ia tidak menghalang pihak yang ingin melaksanakan perkahwinan bawah umur. Namun perkahwinan haruslah selepas mendapat kebenaran berdasarkan alasan yang difikirkan munasabah oleh pemohon untuk melangsungkan perkahwinan tersebut.

Apa pun alasan yang mungkin dikemukakan oleh pihak pemohon, perkahwinan bawah umur ini adalah satu isu yang perlu dikupas dengan baik untuk memberi pemahaman yang jelas tentang faedah serta keburukan jika melaksanakan perkahwinan bawah umur.

Daripada satu sudut, perkara pokok yang perlu diberi perhatian adalah tahap persediaan pasangan bawah umur untuk memikul tanggungjawab sebagai suami dan isteri, yang mana penekanan harus diberikan kepada sama ada pasangan bersedia dari segi didikan agama yang kukuh, peribadi dan budi pekerti yang baik serta mempunyai persediaan yang kukuh dari segi mental, aspek kerohanian serta asas pendapatan yang baik menjadi ukuran berkenaan tahap persediaan pasangan tersebut sebelum melangsungkan perkahwinan.

Perkara-perkara ini harus dipertimbangkan dalam memberi kebenaran kepada mana-mana pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga sebelum usia majoriti yang diperuntukkan.

Wujud kerisauan bahawa dalam usia yang muda, langkah berkahwin di bawah umur ini lebih memberikan risiko besar pada pasangan tersebut. Apatah lagi dalam usia muda serta keadaan semasa perkembangan masyarakat dari sudut ekonomi khususnya dikhuatiri menjejaskan institusi perkahwinan itu.

Harus diperhalusi agar sebarang permohonan untuk kebenaran berkahwin sebelum mencapai usia majoriti hanya dibenarkan selepas dipertimbangkan kebaikan dan kesukaran yang mungkin dihadapi oleh mereka yang bawah umur.

Perkahwinan bukanlah satu pertaruhan hidup semata-mata, tetapi satu alam yang memerlukan kestabilan dari segi agama, emosi, ekonomi dan sahsiah diri kerana institusi masyarakat yang bijak untuk masa depan bermula daripada satu institusi kekeluargaan dan perkahwinan yang kukuh.

PENULIS ialah pengamal undang-undang sivil dan syariah dan aktivis Concerned Lawyers for Justice, sebuah NGO gabungan dalam MACSA.

* Disiarkan melalui ruangan Cakna, Utusan Malaysia Mac 26, 2018.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

w

Connecting to %s