TN50 mesti pertahan jati diri negara bangsa – Aidil Khalid

KETIKA kita mengorak langkah untuk menentukan masa hadapan negara melewati tahun 2020, dan 30 tahun seterusnya, kita mestilah tidak lupa untuk kembali menghayati, merenung, menginsafi, serta mengulang tegas prinsip-prinsip asas tatanegara, berasaskan kepada sejarah ketamadunan negara-bangsa yang telah terbina berkurun lamanya, serta yang telah kemudiannya dimaktubkan inti serta rohnya ke dalam Perlembagaan Persekutuan selaku undang-undang tertinggi negara.

Kita perlu kuasai kepesatan perkembangan teknologi; perlu tangani keruwetan cabaran ekonomi era baharu; serta mesti terlibat dalam kerencaman pertumbuhan ilmu pelbagai bidang — kerana jika tidak, maka negara akan ketinggalan jauh ke belakang berbanding negara-negara lain yang berlumba-lumba dalam pelbagai bidang tersebut. Tetapi semua itu tidak akan lupus nilainya, jika sebagai sebuah negara bangsa dan peradaban, kita kehilangan arah dan jati diri.

1375585912_0b26c914d91

Maka dalam mencorak dan mengisi agenda TN50, kerajaan wajar dan mesti menjadikan agenda bahasa kebangsaan, yang merupakan teras dan tonggak kepada perpaduan serta jati diri rakyat pelbagai bangsa, sebagai keutamaan. Agenda ini mesti me­langkaui retorik kosong, dan merentasi sekadar kempen-kempen tahunan yang lemah dan tidak mencapai maksud seperti ‘bulan bahasa kebangsaan’. Kita memerlukan keazaman yang tulen dan keiltizaman yang jitu untuk benar-benar memartabatkan apa yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, namun telah sekian lama diinjak dan dipijak-pijak tanpa rasa hormat oleh kerajaan mahupun masyarakat awam.

Pendedahan yang dibuat berdasarkan kepada data-data yang diperoleh Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA) berkenaan ke­rendahan tahap perpaduan dan penghayatan negara bangsa yang semakin membarah dan membusuk mutakhir ini wajar dijadikan sebagai pukulan beduk bertalu-talu, tentang betapa pentingnya tindakan tegas diambil dengan segera dan serta-merta.

download

Dalam laporannya bertajuk, Human Rights in Malaysia (2016), badan pemikir itu telah membuat pemerhatian bahawa kewujudan sekolah-sekolah jenis kebangsaan beraliran Mandarin dan Tamil adalah antara sebab kelesuan serta sikap acuh tak acuh terhadap penguasaan bahasa kebangsaan dalam kalangan golongan muda di negara ini. Laporan itu turut memetik penemuan yang dibuat oleh Profesor Dr. Sharon Carston dari PSU Institute for Asian Stu­dies, yang dibentangkan di Universiti Kebangsaan Malaysia pada 2014, berkenaan kewujudan pera­saan benci atau negative feelings dalam kalangan anak muda Malaysia kaum Cina terhadap penggunaan bahasa kebangsaan, walaupun mereka memperakui kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Laporan CENTHRA tersebut juga merujuk kepada pendedah­an oleh Profesor Dr. Teo Kok Seong pada 25 Oktober 2014, yang mendapati bahawa daripada 14,000 pelatih Program Latihan Khidmat Negara pada 2010, seramai 604 orang tidak mampu bertutur dalam bahasa kebangsaan sama sekali.

Ini sesuatu yang amat menyedihkan, dan tentulah bercanggah dengan wawasan bapa-bapa kemerdekaan dahulu. Dalam kes Merdeka Universiti Berhad v Kerajaan Malaysia, Mahkamah Persekutuan selaku Mahkamah tertinggi di negara ini telah me­nyatakan secara tuntas, bahawa hakikat bahasa Melayu diangkat sebagai ‘bahasa kebangsaan’, dan bukan sekadar sebagai ‘bahasa rasmi’, menunjukkan penekanan yang dihasratkan oleh para pe­rangka Perlembagaan bahawa bahasa Melayu tidak dimaksudkan semata-mata untuk tujuan rasmi, tetapi juga mestilah bertindak sebagai bahasa perpaduan untuk semua bangsa, tanpa mengira kaum atau agama, selagi mereka adalah rakyat dan warganegara Malaysia yang cintakan negaranya.

Hakikat bahawa bahasa bukan sekadar alat komunikasi, tetapi juga di tingkat yang lebih tinggi dan yang lebih utama, pembentuk pemikiran dan pandangan alam adalah sesuatu yang telah dibincangkan dan ditekankan oleh para filsuf untuk sekian lama. Di tingkat inilah bahasa memainkan peranannya sebagai jiwa bangsa, yang melangkaui retorik kosong, dan dapat mempersatukan kita sebagai warganegara Malaysia, jika benar-benar dihayati.

Ilmuwan besar lagi ulung tanah air, Profesor Syed Naquib al-Attas telah membentangkan dalam ba­nyak karya pentingnya berkenaan betapa kata kunci-kata kunci utama dalam sesebuah bahasa itu memancarkan cara pandang dan cara faham yang berbeza di antara berlainan bahasa. Konsep ‘agama’ atau ‘akhlak’ yang difahamkan dalam bahasa Melayu tidaklah sama dengan konsep ‘religion’ atau ‘morality’ dalam bahasa Ing­geris atau bahasa-bahasa asing lain. Demikian juga konsep-konsep berkenaan gagasan-gagasan besar seperti faham ‘keadilan’ dan ‘kemajuan’, kerana setiap bahasa itu mempunyai nuansa dan aspirasinya yang tersendiri.

TBTBangsaMalaysia

Meninggalkan kepentingan peng­hayatan bahasa kebangsaan kepada semua warga tanpa me­ngira kaum atau agama akan menyebabkan rakyat negara ini menjadi seum­pama tidur beralaskan satu bantal, tetapi mempunyai mimpi lain-lain — tatkala kita tinggal di sebuah negara yang sama, ternyata masing-masing mengimpikan hasrat negara bangsa yang saling bertentangan, sehingga menyebabkan perpaduan tak mungkin dapat dicapai. Dalam rangka inilah, TN50 mesti dan perlu mengisi agenda negara berasaskan kepada nilai jati diri yang dipancarkan dalam bahasa kebangsaan, jika kita benar-benar cintakan perpaduan negara-bangsa.

PENULIS ialah pengamal undang-undang dan aktivis Concerned Lawyers for Justice (CLJ).

* Disiarkan melalui ruangan Cakna, Utusan Malaysia Mei 8, 2017.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: