Memahami kedudukan Islam – Ilyani Khuszairy

UMUM sedia maklum bahawa Islam telah diberi kedudukan yang istimewa di bawah Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan. Kedudukan Islam di sisi Perlembagaan bukan hanya sebagai lambang simbolik yang digunakan dalam upacara rasmi negara sahaja, tetapi adalah struktur asas kepada Perlembagaan yang sama sekali tidak boleh dipinda sewenang-wenangnya.

Keistimewaan Islam sebagai struktur asas Perlembagaan tidak terhad kepada dogma dan ritual sebaliknya dibina sebagai asas yang konkrit bagi memelihara dan me­ngawal selia segala tindak-tanduk umat Islam, baik dalam perkara yang melibatkan undang-undang peribadi, muamalat, sosial, ataupun perihal jenayah yang melibatkan pelaku Muslim.

Kedudukan ini selari dengan pengisytiharan yang dibuat oleh Hakim Mahkamah Rayuan, Yang Arif Abdul Aziz Ab Rahim dalam kes Menteri Dalam Negeri & Ors v Titular Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur bahawa “Article 3 is not a mere declaration. But it imposes positive obligation on the Federation to protect, defend, promote Islam and to give effect by appropriate state action, to the injunction of Islam and able to facilitate and encourage people to hold their life according to the Islamic injunction spiritual and daily life.”

Sekarang makin ramai yang cuba mengembangkan dakyah sesat mengatakan kononnya sungguhpun Perkara 3 meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan tetapi peruntukan ini tidak menafikan kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara sekular. Walaupun majoriti memahami bahawa kewujudan unsur keagamaan dalam Perlembagaan sekali gus menidakkan hujahan negara sekular, namun perbezaan pendapat ini telah mengelirukan ramai rakyat yang kurang arif dalam memahami struktur Perlembagaan.

Contohnya, kini terdapat agenda yang menjemput anasir luar masuk ke negara ini bagi tujuan merendahkan struktur asas negara sehingga ada yang berani menggunakan platform awam bagi mendakyahkan agama bukan Islam kepada orang Islam; tambahan ada pula yang secara terang-terangan mengisytiharkan sokongan terhadap negara Israel yang dilaknat itu, melalui cadangan penganjuran Jurusalem Jubilee di Melaka baru-baru ini.

Mujur kerajaan negeri dan Persekutuan sepakat me­ngambil langkah segera dengan mengarahkan pembatalan program tersebut, sesuai dengan identiti negara-bangsa ini sebagai sebuah kerajaan Islam. Hal ini selari dengan Perlembagaan Persekutuan yang jelas memperuntukkan dan membahagikan dua cabang pentadbiran perundangan kepada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri. Ma­sing-masing mempunyai kuasa dan budi bicara untuk menentukan susun atur dan fungsi kerajaan masing-masing di bawah Perkara 74, dibaca bersama Jadual Kesembilan, Senarai I (Persekutuan) dan Senarai II (Negeri).

Justeru, sekiranya setiap cabang peruntukan yang ter­maktub dalam Perlembagaan Persekutuan ini dibaca secara menyeluruh dan harmoni, sama sekali tidak memperlihatkan bahawa Malaysia adalah sebuah negara sekular kerana setiap peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan adalah saling melengkapi di antara satu sama lain. Jadi di manakah timbulnya keperluan untuk memutarbelitkan naratif kebangsaan yang menidakkan sejarah, perjanjian sosial dan sistem perundangan sedia ada?

Walhal jika diamati sejarah kemasukan peruntukan Perkara 11(4) ke dalam Perlembagaan Persekutuan – ber­kenaan larangan pengembangan fahaman atau ajaran yang bertentangan dengan agama Islam – peruntukan ini wujud selepas mengambil kira peranan Sultan sebagai ketua agama Islam, sejarah agama Islam di Tanah Melayu sejak berkurun lama, dan sistem perundangan serta pentadbiran bagi masyarakat beragama Islam yang telah mantap, bahkan sebelum daripada kedatangan British lagi.

Hal ini dirumus tegas dalam perenggan 57 Laporan Kertas Putih British 1957: “… hak yang terakhir ini (berhubung kebebasan mengamalkan dan menyebarkan agama sendiri) adalah tertakluk kepada sekatan undang-undang di peringkat negeri berhubung pengembangan ajaran agama atau kepercayaan di kalangan orang-orang Islam …”

Jika kerajaan British yang bukanlah warga Tanah Melayu turut menerima dan menghormati naratif yang sudah wujud di negara ini bagi memelihara kesucian dan ketinggian Islam sejak dulu lagi, apakah alasan mereka yang dilahirkan dan dibesarkan di tanah negara ini untuk mengkhianati peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang mengakui hak kehidupan mereka?

PENULIS ialah pengamal undang-undang dan aktivis Concerned Lawyers for Justice (CLJ).

* Disiarkan melalui ruangan Cakna, Utusan Malaysia Jun 12, 2017.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: