Pengharaman homoseksual – Muhammad Syafiq Mukhtar

DALAM sebuah Hadis Riwayat al-Bukhari, Abu Abdullah Nu’man Basyir RA melaporkan Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas”. Dalam jurisprudens Islami, penentuan halal haram dan dosa pahala suatu amalan berkait rapat dengan hukum yang bersifat Qat‘ie (muktamad) atau Zanniy (spekulasi).

Qat‘ie adalah suatu penetapan hukum yang sudah jelas, di mana tiada khilaf ulama, contohnya pengharaman arak kecuali ketika darurat, manakala hukum yang bersifat Zanniy masih terbuka kepada perbahasan dan perbincangan ulama, contohnya hukum bermain alat muzik.

Adapun perlakuan homoseksual adalah suatu pengharaman yang jelas dalam al-Quran dan Hadis. Apabila ada dakwaan mengatakan perlakuan homoseksual adalah suatu yang tidak salah, atau menjadikan hujah haiwan juga melakukan homoseksual, jelas ada suatu ketempang­an dan kecacatan dalam cara mereka berfikir.

Surah al-Syu‘ara 26:165-166 jelas menyatakan: “Patutkah kamu melakukan hubungan jenis dengan lelaki daripada kalangan manusia, dan meninggalkan apa yang diciptakan oleh Tuhan kamu untuk kamu (melakukan hubungan halal) daripada isteri-isteri kamu? (Kamu orang yang bersalah) bahkan kamu ialah kaum yang melampaui batas (keinginan kebanyakan haiwan).”

Gambaran betapa kejinya perlakuan liwat boleh dilihat melalui hukumannya yang dinyatakan oleh Ibnu Abbas: “(Hukuman baginya ialah) dicari tempat paling tinggi dalam sebuah perkampungan, kemudian campaklah dia dari atas, kemudian dilontarkan pula batu ke arahnya.”

Premis utama yang perlu jelas adalah Islam hadir de­ngan tiga komponen utama yang meliputi iman (akidah), syariah (undang-undang Allah) dan ihsan (akhlak). Muslim yang baik adalah apabila orang lain berasa sejahtera dengan kehadirannya.

Prinsip al-amr bi al-ma’ruf wa al-nahy ‘an al-munkar iaitu menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran sesuai dalam menyantuni Maqasid Syariah (Objektif Syariah). Islam bukan sekadar dogma agama berkaitan amalan rohani sahaja, bahkan Islam datang dengan memelihara lima aspek utama kehidupan iaitu: agama, nyawa, harta, keturunan dan akal. Sudah pasti, Islam melarang keras amalan liwat atau homoseksual kerana lebih banyak mendatangkan mudarat daripada manfaat.

Berlandaskan dalil-dalil ini juga, Seksyen 25 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 telah memperuntukkan: “Mana-mana orang lelaki yang melakukan liwat adalah melakukan suatu kesalahan,” yang mana boleh dihukum dengan hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara selama tidak lebih tiga tahun atau sebat tidak lebih enam kali atau kombinasi hukuman-hukuman ini. Kesalahan liwat ini diklasifikasikan dalam Bahagian IV iaitu di bawah ‘kesalahan yang berhubung dengan kesusilaan’.

Forum perbincangan berkaitan salah laku homoseksual ini tidak terlepas daripada dakwaan yang mengaitkan dengan hak kebebasan peribadi. Dakwa mereka lagi bahawa isu moral ini adalah isu peribadi dan tiada kaitan dengan mana-mana agensi penguatkuasaan. Cara fikir begini adalah bibit-bibit permulaan kepada krisis moral yang lebih tragik.

Walaupun penulis bersetuju dengan pandangan ramai bahawa lebih banyak forum perlu diadakan untuk membincangkan secara rasional dan akademik tentang isu ini, namun kata putus perbincangan dalam forum-forum ini perlu mengambil kira adab, adat dan agama yang menjadi tunjang masyarakat Malaysia.

Perlu ditekankan undang-undang jenayah dalam Seksyen 377A–377C Kanun Keseksaan juga mengharamkan perlakuan liwat. Yang menariknya, Kanun Keseksaan di Malaysia tidak diasaskan menurut ajaran Islam sebalik­nya adalah berdasarkan peruntukan jenayah India yang berasaskan moral Kristian. Maka adalah sama sekali salah untuk mengatakan pengharaman perlakuan homoseksual hanyalah berdasarkan ajaran Islam sedangkan pengharaman ini sebetulnya berasaskan ajaran moral masyarakat.

Penjajaran di antara undang-undang, agama, moraliti dan segala macam fahaman yang menentang penguatkuasaan moral sentiasa berlaku sehingga dalam isu pertukaran agama (murtad) juga menggunakan hujah yang sama; pilihan antara iman dan kufur masih tertakluk kepada kebebasan individu. Perjuangan untuk mendapatkan pengiktirafan kebebasan peribadi sebagai hujah bagi menghalalkan yang haram dengan menafikan elemen nilai agama, akhlak dan maruah diri adalah bertentangan dengan logik akal.

Tiada siapa pun boleh menuntut hak kebebasan peri­badi walaupun dilakukan secara sukarela mahupun suka sama suka. Islam sama sekali tidak menjunjung perbezaan antara undang-undang dan akhlak. Keduanya berjalan seiringan dan saling melengkapi.

Hidup seharian tidak terlepas dari ketetapan Syariah, iaitu setiap perbuatan pasti ada implikasi baik mahupun buruk. Setiap perintah dan larangan dalam Islam juga mempunyai nilai yang tersendiri. Pasti wujud hikmah dan kebaikan dalam setiap perintah.

Contohnya, diharamkan arak kerana merosakkan fungsi akal, diharamkan berzina kerana memelihara keturunan dan maruah sedangkan diharamkan liwat juga kerana memelihara diri daripada mudarat kesihatan. Sesungguhnya Islam adalah agama fitrah yang meraikan naluri setiap insan, namun masih dalam kerangka syariatullah.

PENULIS ialah peguam syarie yang beramal di Pulau Pinang dan aktivis Concerned Lawyers for Justice (CLJ).

* Disiarkan melalui ruangan Cakna, Utusan Malaysia Mei 22, 2017.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: