Perundangan Hudud Berdasarkan Sistem Keadilan Jenayah — Mohd Fasha Musthafa

Isu yang hangat dibicarakan di media massa ketika ini adalah mengenai perundangan Hudud yang dirancang untuk dilaksanakan di negeri Kelantan.

Tanggal 19 Mac 2015, Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan meluluskan Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) dengan majoriti 43 undi. Kali terakhir undang-undang Hudud diluluskan di DUN Kelantan ialah sekitar 20 tahun lalu pada 1993, namun tidak dapat dilaksanakan kerana halangan perundangan.

Media melaporkan bahawa PAS akan membentangkan secepat mungkin Rang Undang-Undang Persendirian di Parlimen bagi membolehkan pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) di Kelantan. Pindaan yang dicadangkan untuk dibahaskan ialah Akta 355 Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 dan Perkara 76A (1) Perlembagaan Persekutuan.

Perdebatan dan perbezaan pendapat mengenai Perundangan Hudud

Rentetan daripada ini, pelbagai pihak melontarkan pandangan masing-masing yang mana terdapat sokongan di kalangan masyarakat Muslim dan tidak kurang juga penentangan di kalangan masyarakat bukan Islam dan juga pihak-pihak yang tidak bersetuju dengan pengenalan Perundangan Hudud dalam sistem perundangan jenayah di Malaysia.

Antara organisasi yang lantang bersuara menentang Perundangan Hudud adalah daripada Badan Peguam Malaysia. Presidennya, Steven Thiru, menyatakan pendirian Badan Peguam Malaysia mengenai perkara itu yang terkandung dalam kenyataan medianya bertajuk “Hudud is Unconstitutional, Discriminatory and Divisive” (Hudud Adalah Tidak Mengikut Perlembagaan, Mendiskriminasi dan Memecahbelahkan). Antara kandungan kenyataan media tersebut adalah penyataan bahawa Perlembagaan Persekutuan adalah bersifat sekular berdasarkan pemahaman kes Che Omar Bin Che Soh v Public Prosecutor [1988] 2 MLJ 55.

Kenyataan media ini segera dibidas dengan penuh cermat oleh Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) yang mana, Presidennya, Dato’ Zainul Rijal Abu Bakar mengatakan bahawa walaupun istilah ‘negara Islam’ tidak termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, namun pada masa yang sama ia juga tidak menyatakan bahawa negara ini sekular.

Rujukan juga dibuat pada kes Menteri Dalam Negeri & Ors v Titular Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur [2013] 6 MLJ 468 bahawa Islam adalah “struktur asas” bagi Perlembagaan Persekutuan.

PPMM juga menegaskan kenyataan Badan Peguam Malaysia yang terlalu bergantung kepada Perkara 5(1), Perkara 7(2) dan Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan untuk menyatakan bahawa pelaksanaan Hudud adalah tidak mengikut Perlembagaan, juga salah berdasarkan tanpa sebarang asas yang wajar.

Kenyataan media daripada PPMM juga disokong oleh gerakan peguam muda, Concerned Lawyers for Justice (CLJ).

CLJ selanjutnya menyatakan, kedudukan Islam dalam kerangka Perlembagaan telah dijelaskan dalam Artikel 3 Perlembagaan Persekutuan dan institusi rasmi negeri selain telah lama wujud untuk menguruskan hal-ehwal Islam.

Dalam isu Perundangan Hudud, ianya tidak bertentangan dengan Artikel 5(1) Perlembagaan Persekutuan kerana perkataan ‘undang-undang’ seperti yang dinyatakan dalam Artikel 160(2) Perlembagaan Persekutuan menyertakan undang-undang bertulis seperti perundangan kerajaan negeri seperti Enakmen Kanun Jenayah Syariah II (1993) 2015.

Malahan berdasarkan isu pelanggaran prinsip kesaksamaan di bawah Artikel 8(1) tidak timbul kerana ujian klasifikasi munasabah yang terpakai dalam kes ini adalah kepada orang Islam yang memilih untuk diadili mengikut undang-undang Islam. Sebagaimana hanya orang Islam sahaja yang tertakluk kepada perundangan Syariah berdasarkan peruntukan Enakmen Negeri.

Secara intipati, PPMM dan CLJ bersetuju bahawa Perundangan Hudud tidak melanggar prinsip-prinsip dan semangat Perlembagaan Persekutuan, malahan, ianya dilihat sebagai penambahbaikan sistem perundangan negara.

Teori penghukuman berdasarkan sistem keadilan jenayah

Tidak dinafikan, antara punca perdebatan dan perselisihan pendapat ini lahir daripada kegerunan masyarakat zaman moden mengenai hukuman Hudud yang antaranya terdiri daripada hukuman potong tangan untuk kesalahan mencuri, rejam bagi kesalahan zina dan sebat bagi kesalahan minum minuman memabukkan.

Disebalik kegerunan masyarakat, ramai yang terlupa mengenai hikmah pengenalan Perundangan Hudud ini. Berdasarkan sistem keadilan jenayah, setiap hukuman itu mempunyai objektif yang ingin dicapai dalam konteks penjenayah, mangsa dan juga masyarakat.

Dalam perbincangan mengenai sistem keadilan jenayah, penulisan Dr. Mohd. Al-Adib Samuri, UKM memberikan analisis yang cukup jelas dan mudah difahami. Penulisan beliau dalam Teori Pencegahan Sebagai Justifikasi Hukuman: Analisis Perbandingan antara Perundangan Sivil dan Islam dapat memberi pemahaman mengenai hikmah Perundangan Hudud.

Merujuk kepada sistem keadilan jenayah moden, terdapat empat teori penghukuman yang biasanya digunakan oleh hakim untuk menghukum pesalah jenayah. Teori penghukuman itu ialah (1) pencegahan, (2) pemulihan, (3) penghilang keupayaan dan (4) pembalasan. Setiap teori ini mempunyai falsafah dan matlamat tersendiri serta menjadi justifikasi bagi sesuatu hukuman yang dijalankan.

Antara justifikasi yang paling dominan dalam sistem perundangan ialah teori pencegahan. Ini bermakna, pesalah akan dihukum kerana untuk mencegah mereka dan anggota masyarakat daripada melakukan kesalahan yang sama pada masa akan datang.

Pencegahan telah menjadi justifikasi utama dalam sistem penghukuman masyarakat menolak konsep hukuman yang tidak setimpal dengan kesalahan yang dilakukan oleh pesalah dan hukuman tidak berperikemanusiaan. Apabila pencegahan telah dianggap sebagai matlamat utama penghukuman, maka kebanyakan hukuman bersifat pencegahan dibuat di hadapan umum dan lebih kejam.
Teori pencegahan berdasarkan sistem keadilan Islam

Jika diteliti kepada hukuman utama dalam Islam, iaitu hudud, hukuman yang keras bertindak sebagai pencegahan agar masyarakat tidak melakukan sebarang perbuatan jenayah.

Hukuman sebatan sebanyak 100 kali, bukannya 1000 kali, adalah memadai dan cukup untuk mencegah pesalah daripada melakukan kesalahan zina. Hukuman Islam bertindak untuk mendidik pesalah dan mencegah mereka dan orang lain daripada melakukannya lagi. Ancaman dan hukuman di akhirat semata-mata tidak memadai untuk mencegah masyarakat daripada terjerumus ke kancah jenayah.

Hukuman yang bersifat pencegahan seperti merejam penzina sehingga mati, wajib dilaksanakan walaupun kelihatan keras pada pandangan pelbagai pihak. Islam menegaskan bahawa kekerasan hukuman ini adalah satu bentuk pencegahan jenayah dalam masyarakat. Hukuman yang disediakan di dunia ini bertujuan untuk melindungi kepentingan masyarakat yang perlu dijaga. Sekiranya sesuatu perbuatan jenayah itu tidak dapat dibalas di dunia, maka hukuman yang keras disediakan oleh Allah SWT pada hari akhirat. Gambaran pelaksanaan di dua tempat, dunia ataupun akhirat, menggambarkan bahawa Islam begitu tegas untuk mencegah kesalahan jenayah menerusi pelaksanaan hukuman.

Pencegahan dalam Islam memfokuskan kepada pencegahan am dan juga pencegahan khusus. Dalam pencegahan am, perundangan Islam bertujuan untuk menjaga kepentingan masyarakat dan juga melindungi masyarakat daripada sebarang kezaliman penjenayah. Bagi pencegahan khusus pula, setiap hukuman dalam Islam akan mencegah diri penjenayah daripada melakukannya pada masa akan datang kerana kesan hukuman yang keras dan sebahagiannya berkekalan seperti orang yang dipotong tangannya kerana mencuri.

Secara umum, hukuman dalam Islam bertujuan untuk mencegah masyarakat daripada melakukan jenayah. Ini dapat dilihat pada hukuman hudud yang sememangnya beraspirasikan pencegahan terhadap masyarakat secara keseluruhan. Setiap hukuman yang diperuntukkan oleh Islam akan dilaksanakan di hadapan komuniti Muslim yang akan menyaksikannya. Dengan melihat kesakitan yang dialami oleh penjenayah sepanjang proses hukuman, masyarakat Islam akan mengambil iktibar dan pengajaran untuk tidak melakukan jenayah yang sama pada masa akan datang.

Dalam perkara ini, Perundangan Hudud sahaja yang boleh memberikan impak pencegahan yang paling berkesan berbanding dengan hukuman dari sumber akal manusia.

Hudud itu sendiri bermaksud suatu yang telah dihadkan atau ditetapkan Allah SWT, Tuhan yang membuat syariat tersebut. Justeru, bagi pesalah zina yang telah berkahwin, pesalah akan menerima hukuman rejam sampai mati dan tidak boleh dijatuhkan bentuk hukuman yang lain seperti pancung atau gantung sampai mati. Apabila sesuatu bentuk hukuman itu tetap, tidak berubah dan tiada pilihan, maka masyarakat akan lebih tercegah kerana menyedari tiada pilihan hukuman yang boleh diperolehi.

Ini berbeza dengan perundangan sivil yang memperuntukkan kuasa kepada hakim untuk memilih beberapa hukuman yang dirasakan wajar oleh hakim tersebut. Perundangan Islam sememangnya memperuntukkan hukuman yang keras dengan tujuan untuk mencegah umatnya daripada melakukan kesalahan yang secara terang dilarang.

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan di atas, adalah difahami bahawa Perundangan Hudud mempunyai tujuan yang baik dalam memelihara dan melindungi masyarakat. Terdapat teori penghukuman dan perbincangan jurispruden yang sama seperti perundangan sivil, sekaligus membuktikan hukuman dalam Islam mempunyai justifikasi yang sah.

Maka, sebarang tohmahan terhadap bentuk hukuman Islam wajar dihentikan kerana ia turut mempunyai justifikasi yang sah sebagaimana perundangan sivil. Selanjutnya, sebelum membuat keputusan untuk menyokong atau menolak Perundangan Hudud, seseorang haruslah mengkaji dan memahami dengan lebih mendalam dari segala aspek agar keputusan tidak dibuat berdasarkan emosi atau maklumat yang salah, tetapi dibuat dengan penuh hikmah.

*Mohd Fasha Musthafa ialah pengamal undang-undang dan ahli PPMM

**Pertama kali terbit dalam akhbar Berita Harian, 25 Mac 2015. Diterbitkan semula di sini dengan kebenaran.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s