Nilai kekeluargaan dalam perundangan -Fatihah Jamhari

WALAUPUN sudah hampir dua minggu kejadian berlaku, namun orang ramai masih mengulas tentang kejadian kemalangan ngeri di Johor Bahru pada 18 Februari lalu. Rata-rata masyarakat sama ada bersimpati dengan nasib keluarga yang kehilangan anak mereka atau saling menuding jari menyalahkan dasar, realiti dan undang-undang sehinggakan kejadian sebegini boleh terjadi. Emosi marah daripada masyarakat adalah wajar memandangkan mangsa kejadian rata-rata hanya berusia 13 hingga 17 tahun. Malaysia hilang sumber manusia dan juga kepakaran mereka yang sepatutnya masih punya banyak peluang untuk berbakti kepada negara.

Penulis berharap siasatan yang terperinci akan dijalankan bagi mengenal pasti ketanggungan pemandu yang terlibat. Dalam masa yang sama perlu juga dibincangkan isu sebenar yang bangkit daripada peristiwa hitam ini. Apabila kanak-kanak yang ada ibu dan bapa di rumah, namun mereka boleh berada di jalanan sehingga larut malam, ke mana perginya nilai kekeluargaan dalam masyarakat kita? Sudah hilangkah rasa sayang, rasa prihatin dan sifat melindungi yang sepatutnya ada dalam masyarakat kita terhadap kanak-kanak?

Yang merunsingkan, ini bukanlah kali pertama kejadian sebegini terjadi. Remaja hari ini memiliki kebebasan yang terlalu luas sehinggakan umum tahu kepelbagaian jenis masalah sosial yang melibatkan remaja di negara ini. Antara yang paling kerap didengari adalah fenomena remaja dirogol lelaki yang baru dikenali mereka melalui aplikasi sosial Weechat, jenayah remaja menyamun, dan menyalah guna dadah. Selain menyelidiki masalah kekurangan dasar bagi memantau pergaulan sosial remaja, yang lebih utama adalah mengamati ke mana perginya nilai kekeluargaan sehinggakan remaja kita kelihat­an seperti terbiar tanpa kawalan.

Dengan melihatkan kemajuan teknologi yang ada, penulis kira sudah tiba masanya kerajaan mula memikirkan langkah kawalan terbaik untuk memastikan kanak-kanak selamat berada di rumah di waktu malam. Dasar ini telah pun diterima pakai di Amerika Syarikat, Jerman, Belanda, Austria dan Thailand. Di China pula, dasar untuk mengehadkan masa penggunaan internet ke atas remaja masih dalam perdebatan. Malaysia wajar mengambil langkah yang sama untuk memastikan keselamatan kanak-kanak di dunia luar dan juga di atas talian.

Peruntukan utama undang-undang berkaitan dengan mereka yang berumur 18 tahun ke bawah dikanunkan dalam Akta Kanak-kanak 2001 (Akta 611), dengan pindaan terkini yang mula berkuat kuasa pada 25 Julai 2016 bagi membenarkan kerajaan menubuhkan daftar pesalah seksual dan bagi meningkatkan kadar hukuman kesalah­an yang dilakukan ke atas kanak-kanak. Di bawah Bab 3 Akta 611, peruntukan menyenaraikan kesalahan terhadap kanak-kanak termasuklah pengabaian dan meninggalkan kanak-kanak tanpa pengawasan. Dalam masa sama, Seksyen 46 Akta 611 membenarkan ibu bapa membuat permohonan agar kanak-kanak yang tidak terkawal dimasukkan ke sekolah atau asrama akhlak. Peruntukan ini seharusnya diberikan lebih penekanan bagi memberikan remaja yang tidak terkawal peluang kedua untuk mendapatkan pendidikan disiplin yang sewajarnya.

Baru-baru ini Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, mengumumkan Skor Indeks Kesejahtera­an Keluarga Malaysia 2016 berada di tahap sederhana dengan skor 7.33 daripada skala maksimum 10. Jika diamati daripada skor ini, keluarga di Malaysia sepatutnya berada dalam keadaan sejahtera. Namun, dapatan ini bercanggah pula dengan statistik penceraian di Malaysia yang semakin meningkat; dianggarkan purata 156 pasangan Islam bercerai setiap hari. Dalam keadaan nilai kekeluargaan yang semakin berantakan, sudah tiba masanya dasar kerajaan dan undang-undang diperbaharui untuk memastikan kesejahteraan unit keluarga.

Di barat, wujud pelbagai gerakan untuk memartabatkan semula hak keluarga. Antara gerakan antarabangsa yang terkemuka adalah UN Family Rights Caucus dan Family Watch International yang menitikberatkan pera­nan dan hak keluarga seperti yang termaktub dalam Artikel 16 Deklarasi Universal Hak Asasi Manusia. Di Malaysia, gerakan IMAANA berniat untuk memberikan pendekatan yang lebih menyeluruh dalam pembentukan keluarga mengikut teras ketimuran.

Di Malaysia, hanya Perkara 12 Perlembagaan Persekutuan yang menyebut tentang peranan ibu atau bapa dalam hal pendidikan, namun hak keluarga tidak dinyatakan secara khusus. Berbanding dengan perlembagaan Ireland yang memperuntukkan secara khusus hak keluarga dalam Artikel 41. Hak keluarga turut diperuntukkan dalam Artikel 15, Perlembagaan Filipina.

Masyarakat Malaysia keseluruhannya wajar mengambil berat tentang pembentukan sahsiah kanak-kanak mela­lui didikan keluarga tanpa berlepas tangan kepada dasar kerajaan atau undang-undang. Daya usaha yang ada juga perlu dipertingkatkan menjangkaui peruntukan undang-undang untuk mendirikan semula kesejahteraan institusi kekeluargaan bagi menyelesaikan masalah sahsiah masyarakat Malaysia. Ini sejajar dengan slogan gerakan hak keluarga antarabangsa yang mengetengahkan penyelesaian kepada masalah dunia berdasarkan nilai kekeluargaan.

PENULIS ialah pengamal undang-undang dan aktivis Concerned Lawyers for Justice (CLJ).

Disiarkan melalui ruangan Cakna, Utusan Malaysia Feb 06, 2017.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: