Rang Undang-Undang 355 Dan Mereka Yang Masih Jumud Oleh: Muhammad Siddiq Azani

img-20170218-wa0001

MASYARAKAT perlu memahami bahawa hudud telah pun dilaksanakan secara separa di Malaysia, dan umum tahu bahawa pelaksanaannya tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Perkara 8(5) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Parlimen boleh membuat undang-undang persendirian untuk mengawal selia umat Islam di negara ini. Berdasarkan yang sama, wujud enakmen jenayah syariah di setiap negeri tanpa sebarang percanggahan dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan berlandaskan kuasa yang diberikan di bawah Perkara 121(1A).

Contoh kesalahan hudud yang telah dilaksanakan adalah kesalahan seperti berzina di bawah Seksyen 23 Akta Kesalahan Jenayah Syariah 1997 (Wilayah Persekutuan)(Akta 559), meminum arak di bawah Seksyen 19 Akta 559 dan qazaf (menuduh orang melakukan zina tanpa mengemukakan 4 orang saksi) di bawah Seksyen 41 Akta 559. Peruntukan jenayah-jenayah ini juga wujud dalam enakmen-enakmen jenayah syariah negeri-negeri lain di Malaysia.

Walau bagaimanapun hukuman yang dikenakan terhadap kesalahan-kesalahan ini amat rendah dan tidak menepati kehendak syarak. Mengambil contoh kesalahan meminum arak, Seksyen 19 Akta 559 memperuntukkan bahawa hukuman bagi pesalah boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi 2 tahun atau kedua-dua sekali. Persoalannya, adakah hukuman ini mencukupi? Sedangkan umum tahu, di dalam syarak, jumhur mengatakan hukuman bagi mereka yang mengambil arak adalah sebatan sebanyak 80 kali. Persoalannya mengapa hukuman di bawah enakmen jenayah syariah di Malaysia terlalu rendah?

Hukuman yang terbatas ini adalah kerana bidangkuasa Mahkamah Syariah di serata negara tertakluk kepada peruntukan di bawah Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) yang menghadkan bidangkuasa Mahkamah Syariah hanya kepada orang Islam dan menghadkan hukuman yang boleh dikenakan di Mahkamah Syariah hanya penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM5,000.00 atau sebatan tidak melebihi enam kali. Penulis tekankan di sini bahawa Akta 355 ini memperoleh keesahan melalui peruntukan dalam Item 1, Senarai Negeri, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan yang dibaca bersama dengan Perkara 121(1A).

Untuk menyama ratakan hukuman di Mahkamah-mahkamah Syariah di Malaysia dengan hukuman berdasarkan hukum syarak, muncul keperluan untuk membesarkan bidangkuasa Mahkamah Syariah di bawah Akta 355. Ini adalah intipati cadangan pindaan dalam Rang Undang-undang 355 (RUU355) bagi meningkat bidangkuasa hukuman Mahkamah Syariah kepada 100 rotan, 30 tahun penjara dan RM100,000 denda. Sekalil lagi ditekankan bahawa peningkatan bidangkuasa hukuman di bawah RUU355 demi membolehkan pemakaian hukuman mengikut hukum syarak, ia sama sekali tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan memandangkan keesahan Akta 355 adalah berlandaskan peruntukan Perlembagaan Persekutuan itu sendiri.

Malahan ini bukanlah kali pertama Akta 355 dipinda. Semasa kewujudan asalnya dalam tahun 1965, Mahkamah Syariah hanya mempunyai kuasa untuk mengenakan hukuman penjara dan denda. Pindaan dalam tahun 1984 telah membenarkan Mahkamah Syariah mengenakan hukuman sebatan juga.

Persoalannya, adakah peningkatan bidangkuasa Mahkamah Syariah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan? Sudah tentu tidak. Jika benar Akta 355 dan sebarang peningkatan bidangkuasa di bawah Akta 355 bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, mustahil Akta 355 mampu wujud selama ini tanpa tiada yang mempersoalkan keesahan Akta ini.

Oleh kerana RUU355 tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, tiada sebab mengapa RUU355 tidak boleh dilaksanakan, lebih-lebih lagi memandangkan pemakaian peruntukan Akta 355 hanyalah kepada orang Islam sahaja dan menepati peruntukan di bawah Perkara 8(5).

Himpunan RUU355 telah diadakan pada 18 haribulan yang lepas dan pada hari yang sama, ada juga himpunan untuk mereka yang menolak RUU355, anjuran puak yang jumud dengan sistem perundangan di negara ini. Penulis musykil mengapa hal ini masih dipolemikkan oleh puak-puak ini, sedangkan beribu satu penjelasan sudah diberikan untuk menerangkan duduk perkara sebenar.

Kita perlu menghormati bidang kuasa perundangan syariah di Malaysia yang wujud berlandaskan Perlembagaan Persekutuan. Jangan kerana sikap angkuh mereka yang enggan memahami intipati undang-undang, kita menidakkan keesahan yang telah lama wujud pada Akta 355. Tambahan pula RUU355 tidak memperkenalkan hukuman baharu, tetapi meningkatkan jumlah hukuman sahaja, yang mana hal ini telahpun berlaku sebelum ini.

Justeru penulis menggesa supaya umat Islam terus bersatu untuk menyokong pindaan dalam RUU355 tanpa mempedulikan suara sumbang mereka yang masih buta hati dan akal untuk memahami undang-undang asas di negara sendiri.

PENULIS ialah pengamal undang-undang dan aktivis Concerned Lawyers for Justice (CLJ).

Disiarkan melalui ruangan Cakna, Utusan Malaysia Feb 18hb 2017.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s