Menyoroti semangat negara bangsa -FATIHAH JAMHARI

TIDAK berapa lama sahaja lagi, Malaysia akan me­nyambut Jubli Intan Hari Kemerdekaan negara. Dalam mengenang peralihan zaman, tentu saja kita akan mengambil masa untuk turut menyoroti perjuang­an membina negara kita sehinggalah Malaysia berjaya merapai pencapaian demi pencapaian yang membanggakan seluruh rakyat negara ini. Gemilang rakyat Malaysia dalam jurusan pendidikan, penyelidikan, kesukanan dan kesenian bererti kelangsungan negara ini juga diakui di landasan antarabangsa.

Semangat perjuangan setiap rakyat Malaysia, tidak kira seberapa kecil pun, harus dibakar terus untuk memajukan kesinambungan penghidupan kita sebagai rakyat sebuah negara yang merdeka. Semangat kita mencipta nama di persada antarabangsa haruslah sama besar dengan semangat kita untuk meningkatkan taraf hidup kita di dalam negara. Ini termasuklah dalam usaha memartabatkan terma-terma kontrak sosial yang dulu dipersetujui dan kini menjadi peruntukan undang-undang negara.

Antara perkara yang telah diperakui oleh Suruhanjaya Reid adalah untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka. Setelah mengambil pandangan daripada pelbagai pihak terma­suklah daripada Majlis Raja-raja, Parti Perikatan dan orang awam, bahasa Melayu diangkat sebagai bahasa perlembagaan melalui Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Keluhuran bahasa Melayu diterima juga dalam Perkara 161 selepas Sabah dan Sarawak bergabung de­ngan Persekutuan Ta­nah Melayu untuk membentuk negara Malaysia.

Jawi

Jadi, persoalan yang wajar kita selidiki adalah; jika benar ketinggian martabat bahasa Melayu sudah disahkan melalui peruntukan undang-undang, mengapa sehingga kini bahasa Melayu masih berdiri di pinggiran dan dilihat sebagai bahasa yang lebih rendah berbanding bahasa-bahasa asing yang tidak sepatutnya lagi mempunyai tempat di dalam rangka undang-undang negara?

Hal ini semakin jelas jika melihat kepada kenyataan-­kenyataan yang dikeluarkan oleh menteri dan pembesar dari Sabah dan Sarawak. Adakah kerana perbezaan kedudukan dalam Perkara 153 berbanding Perkara 161 Perlembagaan Persekutuan, maka sehingga kini rakyat di Sabah dan Sarawak masih tidak menganggap diri mereka juga membentuk jati diri warga Malaysia? Adakah setelah 60 tahun merdeka, naratif rakyat Sabah dan Sarawak masih terasing daripada pence­ritaan kisah rakyat di Semenanjung Malaysia?

Selepas Datuk Amar Abang Johari Tun Openg dilantik sebagai Ketua Menteri Sarawak, antara kenyataan terawal yang dikeluarkan beliau adalah untuk mengatakan bahawa bahasa Inggeris akan diteruskan sebagai bahasa kedua di Sarawak dan beliau akan meneruskan usaha untuk memartabatkan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi Sarawak. Hakikatnya, Sarawak masih tetap dengan pendirian untuk mengangkat bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi. Secara tidak langsung, pendekatan ini mengetepikan kedudukan bahasa Melayu dalam hal rasmi di Sarawak.

Perenggan 148(f)(i) Laporan Suruhanjaya Cobbold di bawah Bab 4, Cadangan menyebut:

“National language – The Constitution of the Federation of Malaya provides that Malay is the national language. Objection is felt in some quarters to the idea that this provision should apply to the Borneo territories and the British members of the Commission consider that this is a matter for the peoples of the Borneo territories to decide for themselves when fully elected representative bodies have been constituted. The Chairman and the Malayan members feel that, as in fact Malay already approached more nearly than any other language to a “lingua franca” in Borneo, this point need not give any offense to the non-Malay population, and that no derogation from the Federal provision is necessary.”

Jika ahli Suruhanjaya Cobbold sendiri memperakui kehandalan bahasa Melayu sebagai lingua franca di Borneo, bukankah ini bererti bahasa Melayu sudah pun mempu­nyai tempatnya sendiri di Sabah dan Sarawak?

Sudah sampai masanya selepas kita sama-sama merdeka dan Malaysia sudah hampir 53 tahun wujud untuk seluruh negara ini mengambil pendekatan yang ­lebih sama rata dan bersatu. Jika bahasa kebangsaan yang diperakui adalah bahasa Melayu, maka sewajarnya seluruh negara ini menghormati kedudukan bahasa Melayu yang dimartabatkan lebih tinggi.

Kita tidak akan mampu untuk berdiri sebagai rakyat yang merdeka jika masih tunduk kepada arah yang ber­asingan. Sewajarnya identiti kebangsaan diberikan lebih keutamaan untuk membawa rakyat Malaysia, baik di Semenanjung, Sabah atau Sarawak bersatu sebagai rakyat sebuah negara tanpa perlu pengasingan dalam naratif masa depan Malaysia.

PENULIS ialah pengamal undang-undang 
yang menganggotai Concerned Lawyers for Justice (CLJ).

Disiarkan melalui ruangan Cakna, Utusan Malaysia Jan 30hb 2017.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s