SETELAH enam dekad Malaysia menjadi sebuah negara merdeka yang berdaulat, masih terdapat sekumpulan rakyat mempersoalkan dan membangkitkan isu-isu sensitif yang boleh membawa kepada ketegangan. Permasalahan ini timbul kerana acap kali Perlembagaan Persekutuan dibaca tanpa melihat sejarahnya.
Kisah penceritaan dan perjalanan negara ini tidak bermula pada 1957 atau 1948 tetapi telah pun bermula sejak zaman kewujudan kerajaan-kerajaan Melayu di kepulauan ini lagi. Hanya dengan pemahaman ini, rakyat akan lebih jelas mengapa Suruhanjaya Reid serta wakil-wakil masyarakat telah mencadangkan kerangka Perlembagaan Persekutuan seperti yang ada sekarang ini. Terdapat beberapa asas penting dalam pembinaan negara ini. Elemen inilah yang dipanggil elemen tradisional dalam Perlembagaan Persekutuan.
Terdapat tanggapan salah sesetengah golongan yang menuduh orang Melayu sebagai kaum pendatang sekali gus menafikan hak bangsa Melayu sebagai bumiputera. Mengikut golongan ini lagi, memandangkan orang Melayu adalah kaum pendatang, kaum Melayu tidak sepatutnya mendapat hak istimewa seperti tanah rizab Melayu dan hak-hak lain di bawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Hujah dangkal ini timbul dengan hanya bersandar kepada kenyataan bahawa Parameswara yang membina empayar Melaka telah datang dari tanah seberang.
Walau bagaimanapun sejarah perlu dibaca mengenai kewujudan kerajaan-kerajaan Melayu sebelum kewujudan Melaka lagi. Budaya malas membaca seperti ini yang menyebabkan salah anggapan terus menular dan harus dibendung dengan segera. Fakta yang tidak pernah diberikan perhatian adalah bahawa Perkara 153 ini bukanlah satu bentuk diskriminasi tetapi sebetulnya merupakan timbal balik dan terma kontrak sosial yang telah dipersetujui.
Perkara ini telah diakui dalam Laporan Suruhanjaya Reid yang menyatakan, “Ahli-ahli Suruhanjaya dilantik atas nama Seri Paduka Baginda Permaisuri dan Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja dengan bidang tugas seperti berikut… Untuk membuat cadangan bagi persekutuan perlembagaan untuk seluruh negara, yang ditadbir sendiri dalam Komanwel berdasarkan demokrasi berparlimen dengan badan perundangan dwi-dewan, yang akan memasukkan peruntukan bagi:… (v) pemeliharaan kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain.”
Hak ini juga telah diakui oleh pihak Inggeris dalam negeri-negeri Melayu dan ini telah membuktikan hak istimewa Melayu sentiasa diakui dan diterima pakai.
Elemen kedua yang dikekalkan adalah bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan seperti yang dinyatakan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Bahasa Melayu pada zaman sebelum era penjajahan bukan sahaja bahasa rasmi kerajaan tetapi lingua franca yang digunakan untuk perdagangan antarabangsa. Secara tidak langsung hakikat ini menafikan tuduhan bahawa bahasa Melayu diciplak daripada bahasa Indonesia.
Atas faktor sejarah inilah, bahasa Melayu seharusnya dimartabatkan dan digunakan sebagai bahasa kebangsaan yang bertujuan menyatukan rakyat negara ini.
Elemen tradisional yang lain boleh dilihat melalui kedudukan Islam dalam negara. Islam bukanlah sesuatu yang asing kepada kepulauan Melayu. Ada yang menyatakan agama Islam ini telah tiba lebih lewat berbanding pengaruh agama Hindu dan Buddha. Namun apabila Sultan-Sultan kerajaan Melayu menerima dan memeluk Islam, agama Islam ini telah menjadi sesuatu yang penting dalam pentadbiran kerajaan Melayu lama.
Malah semasa pengenalan sistem Residen oleh British di negeri-negeri Melayu Bersekutu, sultan masih lagi berkuasa dalam hal-ehwal agama Islam. Fakta ini jugalah yang diperjuangkan oleh pemimpin terdahulu yang akhirnya telah meletakkan Islam sebagai agama negeri dan akhirnya dimasukkan juga sebagai agama Persekutuan di bawah Perkara 3.
Penerimaan Islam secara holistik memberikan kesan terhadap amalan undang-undang di negeri Melayu sebelum kedatangan pengaruh kerajaan luar. Buktinya boleh dilihat dengan pengenalan undang-undang berteraskan syarak seperti Undang-Undang Kanun Melaka dan Undang-undang 99 Perak. Malah Mahkamah Kadi juga telah lama diperkenalkan dan bertapak dalam negara ini. Justeru Mahkamah Syariah serta pengamalan undang-undang Islam adalah teras dalam sistem perundangan negara.
Elemen tradisional seterusnya boleh dilihat dengan merujuk kepada kelangsungan institusi raja-raja. Walaupun peranan raja-raja pernah cuba dilumpuhkan oleh British melalui pengenalan Malayan Union, namun orang-orang Melayu telah bangun menentang Malayan Union memandangkan kedudukan raja-raja Melayu itu harus dimartabatkan.
Sebelum tertubuhnya Persekutuan Tanah Melayu, raja-raja adalah ketua bagi negeri masing-masing. Hanya Negeri-negeri Selat sahaja tidak mempunyai raja-raja Melayu yang kini diwakili oleh Yang Dipertuan Negeri. Justeru tidaklah adil sekiranya ada pihak yang menuduh institusi ini tidak relevan sedangkan inilah rangka pentadbiran yang telah diamalkan sejak dahulu.
Tuntasnya, tanpa penghayatan sejarah ramai masyarakat yang akan menterjemahkan Perlembagaan Persekutuan ini secara harfiah dan membandingkan dengan norma-norma antarabangsa sahaja. Sebaliknya, teks Perlembagaan Persekutuan seharusnya dibaca secara menyeluruh dan dihayati dari segenap aspek sejarah. Hanya dengan itu kita berupaya memahami impian bapa-bapa pengasas negara kita yang terdahulu.
PENULIS ialah pengamal undang-undang dan aktivis Concerned Lawyers for Justice (CLJ).
* Disiarkan melalui ruangan Cakna, Utusan Malaysia Mei 15, 2017.