AHLI PARLIMEN DAN PEMERKASAAN SYARIAH oleh: Aidil Khalid

whatsapp-image-2017-02-27-at-11-40-18-am

TARIKH 18 Februari yang lalu merupakan tarikh bersejarah, kerana kita menyaksikan puluhan ribu rakyat Malaysia telah sama-sama bersolidariti, berhimpun di Padang Merbok, meredah panas dan hujan yang silih berganti pada hari tersebut dari siang ke malam, bagi menyata dan menunjukkan sokongan tiada berbelah terhadap usaha meninggikan syiar Islam di tanah air ini.

Apa yang menarik adalah kerana selain dihadiri sebahagian besarnya oleh bangsa Melayu beragama Islam, Himpunan 355 tersebut turut dilaporkan dihadiri oleh sebilangan kecil kaum Cina dan India, termasuk juga daripada kalangan mereka yang bukan beragama Islam. Ini menunjukkan  bahawa usaha-usaha bagi menyebar luaskan pemahaman di kalangan bukan Islam tentang rang undang-undang pindaan terhadap Akta 355 ini, kalaupun tidaklah sebanyak, telah sedikit menunjukkan kesan positifnya.

Seperti yang dilaporkan oleh akhbar Utusan Malaysia sendiri, pihak polis menganggarkan jumlah kehadiran adalah sebanyak kira-kira 20,000 orang yang membanjiri ibu kota Kuala Lumpur pada perhimpunan tersebut. Ini adalah suatu jumlah yang besar, jika kita mengingat dan membuat perbandingan dengan perhimpunan Bersih 5 yang diadakan pada penghujung tahun lalu, apabila pihak polis menganggarkan cuma kira-kira 15,000 orang sahaja yang hadir. Media alternatif, terutamanya portal dalam talian pula, memberikan anggaran yang lebih besar lagi. Portal Malaysiakini misalnya mengaggarkan lebih daripada 55,000 orang yang hadir dalam Himpunan 355, sedangkan pada tahun lalu, Malaysiakini menganggarkan hanya 40,000 sahaja yang hadir bagi perhimpunan Bersih 5.

Hal ini bererti jika kita mengambil angka daripada pihak mana sekalipun yang membuat anggaran, hakikatnya jumlah kehadiran dan sokongan bagi Himpunan 355 ternyata jauh melangkaui sokongan bagi perhimpunan Bersih, yang sebelum ini sering dijadikan sebagai penanda aras perhimpunan mega di tanah air.

Apa yang lebih menarik lagi ialah kerana pada tarikh Himpunan 355 tersebut, terdapat sekumpulan kecil yang menggelarkan kelompok mereka sebagai Bebas, yang telah cuba untuk mengadakan suatu perhimpunan balas di Tasik Taman Jaya. Tetapi ternyata kelompok Bebas yang berhimpun bagi membantah usaha memperkasakan undang-undang jenayah Islam di tanah air ini, tidak langsung mendapat sokongan daripada rakyat, kerana hanya kira-kira 200 orang sahaja yang hadir pada perhimpunan tersebut, dan daripada jumlah itu, barangkali sepertiganya adalah wartawan.

Ini jelas menunjukkan aspirasi rakyat Malaysia secara umumnya, dan kaum Muslimin secara khususnya, yang amat dahaga dan merindukan ketinggian Islam untuk dikembalikan di negara ini. Justeru dalam konteks inilah, penulis amat berharap agar ahli-ahli Parlimen kita nanti, yang akan bersidang pada bulan hadapan, akan menyokong pindaan terhadap Akta 355 ini apabila dibentangkan nanti, bagi memperkasa dan memperluas bidangkuasa Mahkamah Syariah.

Sebagai ahli parlimen yang dipilih oleh rakyat, mereka mempunyai tanggungjawab dan kewajipan untuk menterjemahkan aspirasi dan keinginan rakyat yang telah memilih mereka. Mereka tidaklah berhak untuk berbahas atau membuat undian di dalam Parlimen dengan membelakangkan kehendak dan hasrat ini. Bahkan barangkali tidaklah keterlaluan jika dihujahkan bahawa memandangkan mereka dipilih untuk mewakili suara hati rakyat, makanya ahli-ahli parlimen ini sebenarnya mempunyai tanggungjawab fidusiari terhadap rakyat yang telah memilih dan memberikan suara mereka melalui ahli-ahli parlimen masing-masing.

Selain daripada amanah rakyat, ahli-ahli parlimen juga harus insaf bahawa mereka dipilih untuk menjalankan amanah di bawah payung pemerintahan Ketua Negara, iaitu Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Dalam konteks ini, Pada 7 Mac 2016, ketika Istiadat Pembukaan Penggal Keempat, Parlimen Ketiga Belas, Baginda Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah, selaku YDPA pada ketika itu, telah bertitah seperti berikut:-

“Beta berharap langkah-langkah ke arah memperkukuh institusi agama dan kecekapan perlaksanaan undang-undang pentadbiran agama Islam melalui pemerkasaan mahkamah syariah dapat disegerakan.”

Selain itu, para ahli parlimen turut mempunyai tanggungjawab keperlembagaan untuk mengundi menyokong pindaan terhadap Akta 355 ini. Seperti yang pernah diputuskan oleh Mahkamah Rayuan dalam kes Menteri Dalam Negeri & Ors v Titular Roman Catholic Arcbishop of Kuala Lumpur [2013] 8 CLJ 890, hakikat bahawa Islam diisytiharkan sebagai agama bagi Persekutuan di bawah Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan bukanlah suatu pengisytiharan  kosong tanpa makna, sebaliknya ia meletakkan beban dan kewajipan kepada  pihak-pihak berkuasa — dan ini tentulah termasuk institusi Parlimen sekali — untuk secara aktif mengambil segala langkah yang perlu bagi memperkasa dan memperkukuh kedudukan Islam di negara ini.

 

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s