Ada apa dengan Rukun Negara? – Ku Amirul Faiz Ku Seman

SEKITAR 2013 penulis pernah menulis rencana me­ngenai Rukun Negara yang bertajuk Keperluan Menghayati semula Rukun Negara. Rencana ditulis dalam keadaan berlakunya hakisan norma-norma tempatan yang serius ketika bahang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) hebat dirasai pada ketika itu. Mesej rencana itu mudah; rakyat perlu kembali semula menghayati Rukun Negara untuk penyatuan bangsa Malaysia.

TunAbdRazak, RukunNegara.jpg

Kini, lahir pula inisiatif untuk menjadikan Rukun Negara Mukadimah Perlembagaan Persekutuan (RMP) yang antara lain percaya RMP perlu untuk menangani isu-isu polarisasi kaum dan agama. Usul untuk mengadakan Mukadimah Perlembagaan mula diketengahkan oleh Tunku Zain al-’Abidin Tunku Mukhriz dalam syarahan yang di­sampaikan di Universiti Malaya pada Oktober 2016.

Antara penyokong usul RMP pula ialah Datin Paduka Marina Mahathir yang baru-baru ini mengulas mengenai kenyataan oleh Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar dalam satu sidang meja bulat oleh pakar, pengamal serta ahli perundangan bagi membincangkan RMP. Zainul Rijal menganggarkan bagaimana jika RMP ­diteruskan, prinsip pertama Rukun Negara iaitu ‘Kepercayaan kepada Tuhan’ akan mendatang­-
kan kesan kepada undang-undang sedia ada mengenai hak kebebasan beragama.

Dalam ulasannya, selain memuji kenyataan Zainul Rijal yang dikatakan me­ngutamakan hak ateis untuk tidak mempercayai Tuhan, Marina juga mengatakan RMP tidak akan mengubah undang-undang.

Rukunegara3.jpg

Ulasan Marina bercanggah dengan logik atas dua faktor utama: (1), jika sekarang ini Rukun Negara tidak berjaya membuatkan rakyat Malaysia percaya kepada Tuhan berdasarkan prinsip sedia ada, mana mungkin RMP akan menyelesaikan masalah ini; (2), jika RMP tidak membawa kesan perubahan perundangan, tidak perlu Rukun Negara diangkat ke dalam Perlembagaan, terutama apabila mengambil kira roh dan semangat Rukun Negara sudah pun ada dalam Perlembagaan Persekutuan.

Penulis percaya dakwaan kononnya tidak akan wujud implikasi perundangan dalam RMP adalah salah sama sekali. Dalam menterjemahkan maksud peruntukan undang-undang, semestinya setiap perkataan mempunyai makna tersendiri. Sekiranya mukadimah benar-benar tiada implikasi undang-undang mengapa RMP perlu dicadangkan, dalam keadaan 60 tahun Perlembagaan Persekutuan berlangsung tanpa mukadimah? Penulis merasakan inisiatif RMP hanyalah cadangan dangkal tanpa menyelidiki dan menghayati roh sebenar Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan, selain kesan-kesan sekiranya dimasukkan sebagai mukadimah Perlembagaan Persekutuan. Dalam menjawab sama ada RMP adalah perlu, penulis percaya penghayatan elemen sejarah yang menebal dalam kedua-dua dokumen Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara perlu diberatkan. Dalam Perlembagaan Persekutuan misalnya, secara jelas menceritakan mengenai hak-hak rakyat seperti termaktub dalam Bahagian II, mengenai struktur persekutuan dalam Bahagian IV dan struktur negeri dalam Bahagian V.

Tidak lupa juga sejarah Perlembagaan Persekutuan itu yang berfungsi sebagai catatan kontrak sosial yang telah dipersetujui. Sedangkan dalam Rukun Negara pula, wujud falsafah dan nilai kenegaraan yang menjadi aspirasi penya­tuan seluruh warganegara.

Bagi negara yang mempunyai mukadimah perlembagaan, fungsi wujud mukadimah terbahagi kepada lima, iaitu (i) mengenai kedaulatan sesebuah negara, (ii) menceritakan mengenai sejarah ringkas, (iii) menerangkan matlamat utama undang-undang serta perlembagaan, (iv) penerangan mengenai identiti nasional, serta (v) agama dan kepercayaan. Mukadimah juga mempunyai tujuan perundangan, sama ada berbentuk a) simbolik bagi merekodkan aspirasi juga nilai kenegaraan, b) interpretif bagi menerangkan sesuatu isi perlembagaan, atau c) substantif bagi tujuan mengikat klausa-klausa perlembagaan.

Untuk mengukuhkan lagi perpaduan antara rakyat, yang diperlukan bukanlah RMP tetapi penghayatan nilai sejarah supaya tidak timbul persepsi anggapan diskriminasi antara kaum, penafian hak-hak beragama, pendidikan dan bersuara. Untuk ini, inisiatif sedia ada termasuklah dalam ‘Program My Rukun Negara’ di bawah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional perlu diperkasakan. Setakat November 2016, Tan Sri Joseph Kurup mengesahkan terdapat 6,068 Kelab Rukun Negara di sekolah rendah dan 150 Sekretariat Rukun Negara di institusi-institusi pengajian tinggi seluruh negara.

Jika inisiatif ini dirasakan tidak memadai, seharus­nya kita menambah baik apa yang sudah ada berbanding mencipta sesuatu yang baharu, yang akan menimbulkan lebih banyak polemik. Penulis merasakan jalan terbaik untuk menghayati ideologi kenegaraan yang wujud dalam Rukun Negara adalah melalui pendidikan agar anak-anak dibesarkan untuk memahami sejarah yang membawa pembentukan wujudnya negara ini dengan terma-terma yang mengikat setiap warganegara.

PENULIS ialah pengamal undang-undang dan aktivis Concerned Lawyers for Justice (CLJ).

* Disiarkan melalui ruangan Cakna, Utusan Malaysia Mac 13, 2017.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: