Menuntut Hak Pengguna – Muhammad Siddiq Azani

 

SABAN hari kita melihat kisah-kisah tular di media sosial melibatkan masalah yang dihadapi oleh pengguna. Kebanyak­an yang dilaporkan adalah kes-kes yang melibatkan penipuan, kegagalan untuk mendapatkan produk yang telah dibayar, mendapat produk yang tidak mengikut spesifikasi atau tidak selamat. Lebih kecoh lagi, pada penghujung tahun lalu, sebuah akhbar tempatan mendedahkan fenomena melibatkan penjualan kosmetik berbahaya sehinggakan ada yang menyebabkan kecacatan kepada pengguna.
Walaupun setiap daripada kita adalah pengguna, namun tidak ramai yang mengetahui hak-hak pengguna. Pengguna boleh menggunakan hak masing-ma­sing untuk membela nasib sendiri walaupun tanpa khidmat guam­an. Kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah mewujudkan Tribunal Tuntutan Pengguna (TTP) untuk membantu pengguna me­nuntut hak mereka tanpa perlu ke mahkamah sivil.

TTP adalah suatu badan adjudikasi bebas yang ditubuhkan di bawah Seksyen 85, Akta Pelin­dungan Pengguna 1999 (Akta 599) dan mula berkuat kuasa pada 15 November 1999. Di bawah Seksyen 91 Akta 599, pengguna boleh membuat tuntutan kepada mana-mana individu atau syarikat berkaitan dengan aduan melibatkan barang yang dibeli atau perkhidmatan yang digajikan selagi tuntutan tersebut tidak me­lebihi RM25,000.

Sebelum penubuhan TTP, semua pertikaian antara pengguna dan peniaga, pembekal atau pengilang barang atau pembekal perkhidmatan terpaksa dibawa ke mahkamah yang melibatkan prosedur rumit, kos tinggi dan memakan masa panjang. Ini antara beberapa sebab pengguna keberatan untuk membuat tuntutan terhadap peniaga atau pembekal perkhidmatan yang tidak bertanggungjawab dan beretika.

Memahami keadaan ini, TTP ditubuhkan bagi menyediakan satu saluran alternatif selain mahkamah sivil untuk pengguna menuntut ganti rugi berkenaan pembelian barang atau perkhidmatan yang dibekalkan daripada peniaga atau pembekal perkhid­matan dengan cara yang lebih mesra pengguna. Bagaimanapun pengguna harus bertindak segera kerana had masa untuk mengambil tindakan di TTP adalah jauh lebih pendek berbanding had masa yang dibenarkan untuk memulakan tindakan di mahkamah. Di TTP, aduan mesti difailkan dalam masa tiga tahun dari tempoh kausa tindakan itu terakru sedangkan di mahkamah, tempoh masa untuk memfailkan saman di mahkamah adalah enam tahun.

Selain itu, di bawah Bahagian II dan III Akta 599, pengguna yang mempunyai aduan berkaitan dengan barang atau perkhidmat­an yang dikatakan tidak selamat, palsu, mengelirukan atau memperdaya boleh memfailkan aduan terus kepada KPDNKK melalui telefon, laman web, surat atau datang ke Pusat Pengurusan Adu­an Pengguna (PPAP) yang ada di setiap daerah. Seksyen 25 Akta 559 memperuntukkan hukuman bagi sabitan kesalahan, yang mana jika peniaga atau pembekal perkhidmatan didapati melanggar peruntukan Bahagian II dan III, seseorang pesalah persendirian boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun. Jika peniaga adalah sebuah syarikat, pesalah boleh didenda tidak melebihi RM250,000. Denda yang tinggi sepatutnya dilihat sebagai langkah pencegahan pelanggaran hak pengguna.

Gambar ihsan Utusan

Pengguna juga boleh bergiat aktif dalam NGO yang melibatkan kepenggunaan seperti Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) demi memartabatkan hak pengguna di Malaysia, terutama bagi mereka yang beragama Islam. Penglibat­an pengguna secara halus akan mendesak pihak peniaga atau pembekal perkhidmatan untuk mempertimbangkan kepentingan dan hak pengguna dalam barangan dan perkhidmatan mereka. Inilah senario yang dapat dilihat daripada insiden penjualan berus babi, bilamana akhir­nya peniaga-peniaga bersetuju untuk mempamerkan label yang jelas tentang kandung­an barangan yang dijual bagi menghormati desakan pengguna Islam.

Kegiatan aktivisme juga akan menekan pihak kerajaan untuk membentuk dasar yang lebih menguntungkan pengguna. Ini disahkan oleh Menteri Perdagang­an Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam penyataan di Parlimen pada 18 Mei 2016. Menurut beliau, kerajaan turut memainkan peranan dalam meningkatkan tadbir urus yang baik dalam kalangan komuniti perniagaan melalui mekanisme sokongan, galakan dan promosi melalui program-program seperti latihan dan seminar, mewujudkan Kod Etika Perniagaan Malaysia, pembangunan Instrumen Penilaian Integriti Penjaja dan Peniaga Kecil serta pelaksanaan Ikrar Integriti Korporat.

Kesedaran hak pengguna adalah penting bagi memastikan industri perkilangan dan pembekal perkhidmatan menitikbe­ratkan kualiti dan keselamatan dalam produk mereka. Ini bukan sahaja akan meletakkan kuasa beli rakyat Malaysia tepat pada tempatnya, bahkan akan melancarkan lagi pembangunan perdagang­an dalam negara kita.

PENULIS ialah pengamal undang-undang dan aktivis Concerned Lawyers for Justice (CLJ).

* Disiarkan melalui ruangan Cakna, Utusan Malaysia Mac 20, 2017.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s