Pindaan RUU164: Usaha Yang Dangkal? – Fatihah Jamhari

PADA Ogos lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah meng­umumkan keputusan kerajaan untuk menyokong pindaan kepada Akta Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Penceraian) 1976 (Akta 164). Pada 21 November 2016, Parlimen telah mende­ngar bacaan kali pertama (RUU164) yang dibentangkan oleh Datuk Seri Azalina Othman Said selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Secara ringkasnya, cadangan-cadangan pindaan di bawah RUU164 adalah seperti berikut:

RUU164 4

* Cadangan pindaan kepada Seksyen 3 Akta 164 akan memberikan Mahkamah Sivil bidang kuasa eksklusif ke atas pembubaran perkahwinan jika salah seorang pihak dalam perkahwinan tersebut telah masuk Islam. Di bawah huraian kepada RUU164 menyebut “tujuan pindaan adalah untuk membolehkan pihak kepada sesuatu perkahwinan yang telah masuk Islam untuk menyerahkan petisyen perceraian di hadapan mahkamah sivil” bagi menangani isu bidang kuasa seperti yang wujud pada masa ini.

* Cadangan ini perlu dibaca bersama dengan cadangan pindaan kepada Seksyen 51 Akta 164 akan membenarkan pihak dalam perkahwinan untuk memfailkan petisyen penceraian di mahkamah sivil bagi membubarkan perkahwinan kerana salah seorang mereka telah memeluk Islam.

Huraian cadangan pindaan kepada Seksyen 12 Akta 164 pula menyebut bahawa pindaan bertujuan menyamaratakan hak dalam memberikan persetujuan bagi perkahwinan seseorang yang di bawah umur 21 tahun kepada ibu (atau ibu angkat), sama se­perti yang diberikan kepada bapa.

* Cadangan pindaan kepada Seksyen 76 Akta 164 adalah me­ngenai pembahagian harta sepencarian selepas mengambil kira beberapa perkiraan bagi maksud kesamarataan pembahagian aset perkahwinan.

* Cadangan pindaan kepada Seksyen 95 Akta 164 pula bertujuan untuk melanjutkan tempoh perintah nafkah sehingga anak tamat pengajian.

Antara kontroversi yang menentang RUU164 adalah secara amnya melibatkan cadangan pindaan untuk memasukkan seksyen baharu yang dinamakan ‘Seksyen 51A harta suami isteri selepas penukaran agama’ bagi membenarkan pusaka kepada mualaf yang meninggal sebelum pembubaran perkahwinan dibahagikan juga kepada pasangan dan ahli keluarga yang bukan Islam.

RUU164 7

Selain itu, undang-undang setakat ini tanpa pindaan RUU164, membenarkan agama anak ditukarkan kepada Islam dengan kebenaran salah seorang daripada ibu, bapa atau penjaga. Namun dengan cadangan pindaan untuk memasukkan seksyen baharu yang dinamakan ‘Seksyen 88A agama anak’, seorang mualaf akan dikehendaki mendapatkan persetujuan pasangan mereka sebelum anak boleh memeluk agama Islam mengikut pasangan mualaf, sekali gus memberikan kuasa veto kepada pasangan yang bukan Islam tersebut untuk menidakkan penukaran agama anak.

Tentangan terhadap RUU164 juga adalah berkaitan dengan Fasal 9 RUU164 yang memper­untukkan kesan retrospektif yang akan terpakai ke atas mana-mana prosiding yang bermula atau belum selesai sebaik sebelum tarikh permulaan kuat kuasa RUU164.

Tidak adil jika dikatakan kese­luruhan cadangan di bawah RUU164 adalah tidak baik. Penulis bersetuju dengan pindaan untuk membolehkan seseorang mualaf memfailkan petisyen perceraian di mahkamah sivil, juga pindaan yang menyamaratakan hak ibu bapa serta pindaan me­ngenai nafkah dan harta sepencarian — setakat mana ia tidak bercanggah dengan hukum-hukum syarak. Namun, bagi bahagian yang melibatkan hak mualaf dalam perkahwinan serta hak ibu bapa selepas pertukaran agama beliau, RUU164 dilihat seperti menindas dan memperkecilkan hak mualaf.

Dalam jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 8 November 2016 di Parlimen, beliau menyentuh tentang kewujudan Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil yang ditubuhkan bagi mengharmonikan undang-undang syariah dan sivil. Janji yang diberikan menteri adalah untuk memenuhi prinsip keadil­an serta mencari jalan penyelesaian secara holistik dengan mengambil kira kepentingan dan keadilan semua pihak. Namun menteri yang sama jugalah yang menyokong cadangan pindaan RUU164 seperti di atas tanpa menyebut bantahan kepada hal-hal yang menidakkan hak mualaf termasuklah membenarkan harta pusaka seorang mualaf diwarisi oleh keluarga bukan Islam. Cadangan ini jelas bertentangan dengan hukum syarak.

Jamil Khir

Pada 30 Mac, semasa dalam bacaan kali kedua Rang Undang-undang Mahkamah (Kaedah-Kaedah Permulaan Tindakan Sivil) 2016, wakil-wakil rakyat pihak pembangkang telah cuba me­rampas ruang dengan memasukkan hujahan berkaitan RUU164. Ini menunjukkan keghairahan mereka untuk meneruskan de­ngan bacaan kedua RUU164. Keghairahan ini tidak bertempat memandangkan suara ramai lagi pihak yang arif masih belum didengari dan diambil kira.

Walaupun tujuan murni RUU164 untuk menghentikan permasalahan bila mana terdapat penukaran agama anak-anak secara unilateral harus dipuji, tetapi usaha setakat yang ada dirasakan terlalu dangkal. Seharusnya permasalahan seperti ini diselesaikan tanpa menghakis hak mana-mana pihak dengan membawa perbincangan bersama mereka yang arif tentang hal hukum syarak, selain perundangan sivil dan Perlembagaan.

PENULIS ialah pengamal undang-undang dan aktivis Concerned Lawyers for Justice (CLJ).

* Disiarkan melalui ruangan Cakna, Utusan Malaysia April 3, 2017.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: